YAMAHA Berterusan Buat Peningkatan - Fabio Quartararo

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/9/20241 min read

YAMAHA sedang bergerak ke arah yang betul, kata pelumba bintangnya Fabio Quartararo disebalik prestasi kurang memberangsangkan pada aksi MotoGP di Grand Prix (GP) Jerman 2024, minggu lalu.

Kepada peminat tegar Yamaha di MotoGP, Sachsenring adalah pentas yang diharapkan mampu melakar kejayaan buat pengeluar Jepun itu kerana ia adalah kali terakhir Quartararo meraih kemenangan pada 2022.

Tetapi apa yang diharapkan tinggal harapan apabila pelumba kelahiran Perancis itu melepasi garisan penamat di tangga ke-11 dengan pelumba gantian, Remy Gardner seperti dijangka akan bergelut dan menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-19.

Dan sekalipun terlepas kedudukan 10 terbaik di Jerman, juara dunia 2021 itu mengakui keputusan itu tidak menggambarkan segala-galanya.

"Ia perlumbaan yang sukar, tetapi kami mengharunginya dengan lebih baik daripada jangkaan," kata Quartararo.

"Kami ketinggalan agak jauh pada awal perlumbaan dengan tayar yang baharu, tetapi saya menamatkan perlumbaan pada jarak yang lebih atau kurang seperti pemenang seperti yang saya lakukan ketika Sprint, jadi saya fikir ia agak bagus.

"Kami tahu yang kami boleh bertambah baik. Saya fikir pada babak kedua musim ia akan menjadi lebih baik, dan saya fikir kami akan bertambah baik.

"Kami melakukan kemajuan sejak awal tahun ini. Kami bekerja keras, dan sekalipun kami tidak boleh melihatnya menerusi keputusan setakat ini, tetapi kami dalam perjalanan dan harapnya kami boleh melihat langkah yang kami buat tidak lama lagi."

Quartararo ketika ini menghuni tangga ke-15 carta kejuaraan pelumba MotoGP namun sebagai pelumba terbaik daripada pengeluar Jepun dengan mengumpul 44 mata.

Sebagai perbandingan, pelumba terbaik Honda, Joan Mir menghuni tangga ke-18 selepas mengumpul 13 mata manakala pendahulu kejuaraan Francesco Bagnaia daripada Ducati Lenovo sudah mengumpul 22 mata.