YAMAHA Blu Universe Serdang Dirasmikan!

Yamaha Motor Malaysia terus mengembangkan sayap perniagaan 'big bike' dengan merasmikan pusat pameran eksklusif pertama Yamaha Blu Universe Serdang yang dikendalikan Serdang Motorcycle

PELANCARAN

11/1/20261 min read

YAMAHA Motor Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran motosikal berkuasa tinggi tempatan apabila merasmikan pembukaan pusat pameran eksklusif terbaharunya dan pertama di Malaysia, Yamaha Blu Universe Serdang.

Seperti namanya, Yamaha Blu Universe Serdang dikendalikan oleh pemain terkemuka dalam edaran motosikal, Serdang Motorcycle.

Menurut Yamaha Motor Malaysia, pembukaan pusat sehenti berkonsepkan gaya hidup itu menjanjikan pengalaman pemilikan tahap premium buat peminat motosikal jenama itu.

Dari sudut keluasan, Yamaha Blu Universe Serdang menggunakan tiga lot rumah kedai dan pusat pameran serba moden ini memberi tumpuan sepenuhnya kepada penawaran rangkaian motosikal berkuasa tinggi Yamaha, bermula daripada segmen 250 cc hinggalah ke jentera berprestasi tinggi 1000 cc.

Bagi memberi nilai tambah serta menjamin ketenangan minda pelanggan, Yamaha Blu Universe Serdang turut menyediakan kemudahan perkhidmatan selepas jualan di bawah satu bumbung yang komprehensif, disokong oleh lima unit servis bay khusus untuk kerja-kerja penyelenggaraan.

Lebih menarik, tingkat atas premis berkenaan didedikasikan khas sebagai hab kelengkapan penunggang yang mempamerkan pelbagai aksesori motosikal dan gaya hidup.

Ia menawarkan seleksi produk premium merangkumi pakaian tunggangan, sarung tangan, helmet, beg, kotak barangan, seluar serta kasut menunggang khusus pelbagai jenama untuk keperluan pelanggannya.

Alamat Yamaha Blu Universe Serdang:

Lot 8, 10, 12, Jalan 6/11,

Kawasan Perusahaan Seri Kembangan,

43300 Seri Kembangan, Selangor