YAMAHA Buat Kerja Yang Menakjubkan - Pecco Bagnaia
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/7/20251 min read


PELUMBA Ducati Lenovo, Francesco Bagnaia mengakui Yamaha melakukan kerja yang menakjubkan pada ujian pra-musim MotoGP di Sepang terutama prestasi yang ditampilkan juara dunia 2021, Fabio Quartararo.
Sepanjang tiga hari ujian, pelumba Monster Yamaha, Quartararo sentiasa mengisi tiga kedudukan terpantas termasuk menungguli catatan pada hari pertama.
Pada hari terakhir, pelumba kelahiran Perancis itu melakukan catatan ketiga terpantas dan menjadi satu-satunya pelumba bukan Ducati melakukan catatan bawah 1 minit 57 saat (s).
Tiga daripada empat pelumba yang melakukan catatan bawah 1:57s adalah Alex Marquez, Bagnaia dan Morbidelli yang kesemuanya menggunakan jentera Ducati GP24 dan GP25.
Sejak beberapa musim lalu, MotoGP dikuasai pengeluar Eropah dengan dua pengeluar Jepun, Honda dan Yamaha mengalami kemerosotan ketara.
Bagnaia begitupun mengakui situasi itu boleh berubah pada 2025 dengan apa yang ditunjukkan Quartararo di Malaysia.
"Saya fikir kita akan melihat perubahan dari sudut siapa yang berada di belakang Ducati pada musim ini," kata Bagnaia.
"Saya fikir Yamaha melakukan kerja yang amat bagus, tetapi kami perlu menunggu ujian di Thailand kerana mereka memperoleh enam hari ujian (kesemua pelumba Yamaha sertai ujian 'Shakedown'), jadi mungkin prestasi diperoleh daripada sana.
"Tetapi benar yang Fabio (Quartararo) mempunyai kelajuan yang menakjubkan sepanjang tiga hari, dan juga ketika melakukan catatan terpantas, itu adalah satu kelemahan (Yamaha) daripada tahun lalu, dan mereka kini laju."
