YAMAHA Catat Peningkatan Jualan Separuh Pertama 2023, Raih RM 25.26 bilion Jan-Jun 2023!

8/17/20231 min read

KURANG 'menyengat' di pentas perlumbaan MotoGP atau WSBK tidak menjejaskan Yamaha Motor Co., Ltd. dari sudut jualan dengan angka yang dicapai syarikat berpangkatan di Jepun itu bagi separuh 2023 menunjukkan peningkatan signifikan.

Secara keseluruhan, nilai jualan keseluruhan syarikat induk, Yamaha Motor mencecah 795 billion Yen (RM 25.26 bilion) sepanjang tempoh berkenaan, menurut kenyataan dikeluarkan.

Angka berkenaan menunjukkan peningkatan menakjubkan kira-kira 15.4 peratus kenaikan berbanding tempoh yang sama pada tahun 2022.

Pendapatan operasi berada pada angka 69.4 billion yen (RM 2.2 bilion) yang turut menunjukan peningkatan mengujakan kira-kira 88.9 peratus.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Yamaha Motor, Yoshihiro Hidaka berkata peningkatan ketara dalam jualan dan keuntungan keseluruhan syarikat itu didorong oleh lonjakkan permintaan dan unit jualan dalam perniagaan teras iaitu motosikal serta produk marin.

Menurut Hidaka, peningkatan permintaan terhadap motosikal pada tahun 2023 meningkat di Asia dan Eropah. Ia dipacu daripada pencarian orang ramai terhadap medium pengangkutan yang mampan.

Industri motosikal kekal menjadi penyumbang terbesar buat jualan Yamaha selain 'jabatan' perniagaan lain seperti 'Land Mobility Business' seperti ATV, ROV, Kereta Salji, Kenderaan Kuasa Pintar, e-bikes, e-scooter, kerusi roda elektrik dan skuter mobiliti.

Dan selaras dengan peningkatan minat terhadap mobiliti elektrik, Yamaha Motor ketika ini sedang menimbang untuk bergabung dengan anak syarikatnya, Yamaha Motor Electronics Co., Ltd. yang menghasilkan motor elektrik, komponen kenderaan dan perkakasan elektronik.