YAMAHA Dah Jumpa Pengganti Lin Jarvis Di MotoGP

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/30/20241 min read

ANTARA watak penting dan ikonik dalam garaj Yamaha MotoGP, Lin Jarvis seperti diketahui akan melepaskan jawatannya pada penghujung musim ini dan terbaharu, penggantinya dikatakan sudah pun dikenalpasti.

Menurut laporan Motosports.com, Yamaha dikatakan memilih Paolo Pavesio sebagai pengganti Jarvis bagi mengetuai program MotoGP Yamaha bermula musim 2025.

Yamaha belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai perkara itu dan pengeluar motosikal gergasi Jepun itu dijangka akan membuat pengumuman mengenai Pavesio pada minggu depan di Misano.

Dan warga Itali itu seperti Jarvis akan memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Yamaha Motor Racing.

Pavesio yang ketika ini menjawat jawatan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Yamaha Motor Eropah tidak pernah memegang peranan penting di paddock MotoGP Yamaha setakat ini.

Begitupun, beliau bukan 'kosong' dalam arena perlumbaan dan memiliki pengalaman di Kejuaraan Superbike Dunia bersama Yamaha.

Sebelum mengundurkan diri, Jarvis, 66 tahun dikatakan diberikan beberapa tugas penting antaranya mendapatkan tandatangan Fabio Quartararo, memikat Pramac menjadi pasukan satelit Yamaha di MotoGP dan mendapatkan beberapa staf penting Ducati ke pasukan itu serta beberapa lagi.

Menyertai Yamaha MotoGP pada era 500 cc pada 1999, Jarvis sebelum ini pernah bertugas di jabatan pemasaran dan komunikasi Yamaha Eropah selama enam tahun.

Setakat ini, hanya Pramac Yamaha masih belum mengumumkan pelumba bagi kempen MotoGP musim depan dengan antara dikaitkan adalah pelumba berpengalaman, Miguel Oliveira dan Jack Miller.

Sekalipun kehadiran Oliveira dan Miller nampak tidak seiring dengan kriteria sebagai pasukan 'satelit', tetapi Yamaha mahu Pramac menjadi pasukan ujian yang mempercepatkan kemajuan jentera Yamaha M1 yang tampak ketinggalan ketika ini.

Selain Oliveira dan Miller, Yamaha Racing juga dikatakan sedang cuba mendapatkan khidmat bekas juara dunia Moto2, Augusto Fernandez sebagai pelumba ujian pasukan itu.