YAMAHA Dah Mula Uji Enjin V4
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
4/16/20251 min read


YAMAHA mengesahkan enjin konfigurasi V4 yang akan digunakan di MotoGP sudah pun menjalani ujian pengeluar itu.
Begitupun, Pengarah Teknikal Yamaha Racing, Max Bartolini menegaskan tiada keputusan mengenai penukaran enjin akan dibuat sekiranya enjin berkenaan tidak mampu 'mengalahkan' enjin 4 Silinder Sebaris yang digunakan ketika ini.
"Jentera pada tahun depan akan menggunakan enjin V4 jika jentera dengan enjin itu terbukti lebih pantas berbanding jentera dengan enjin 4 Silinder Sebaris," kata Bartolini kepada MotoGP.com.
Begitupun, Bartolini tidak memberitahu sama ada enjin itu akan diuji pada ujian persendirian di Valencia, Sepanyol minggu ini yang menampilkan dua pelumba ujiannya, Cal Crutchlow dan Augusto Fernandez.
Malah, Bartolini menyatakan yang pembangunan enjin itu masih di peringkat awal.
"Kami sudah memulakan ujian dengan enjin V4," katanya. "Kemudian, ujian dengan pelumba rasmi akan dibyat bergantung kepada pembangunannya berjalan.
"Jika jentera itu sudah bersedia, ia secepat yang mungkin. Membangunkan enjin dan jentera memerlukan masa. Kami masih di peringkat awal pembangunan.
"Ketika ini, kami masih belum mengetahui kemungkinan untuk membandingkannya dengan betul bersama prestasi.
"Tetapi dengan sepantas yang mungkin, kami akan membuat perbandingan dan kami akan melihat jentera mana yang lebih pantas."
Fabio Quartararo ketika sesi kelayakan Grand Prix Qatar 2025 meletakkan jentera Yamaha M1 di barisan pertama sebelum menamatkan perlumbaan di tempat ke-5 pada aksi Sprint dan ke-7 pada Perlumbaan utama.
