YAMAHA Dah Temui 'Persetujuan' Dengan Alex Rins Di MotoGP, Selamat Tinggal Honda!
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/27/20231 min read


BEKAS pelumba MotoGP Suzuki, Alex Rins kini hanya 'selangkah' sebelum secara rasmi bergelar pelumba Yamaha di mana 'persetujuan sudah pun dicapai' di antara pelumba dan pasukan, lapor akhbar Itali, La Gazzetta dello Sport.
Tindakan itu menyaksikan Rins akan meninggalkan pasukan satelit Honda, LCR Honda selepas semusim menyertai pasukan itu tahun ini susulan penarikan diri Suzuki di MotoGP.
Begitupun menurut laporan itu, 'tandatangan penting membabitkan kontrak berkenaan masih belum lengkap'.
Antara alasan utama kontrak membabitkan Rins dan Yamaha belum lengkap adalah disebabkan pelumba kelahiran Sepanyol itu masih berada di hospital untuk menjalani pembedahan susulan kecederaan di kakinya.
Pada minggu lalu, Rins melepaskan status bujangnya dengan berkahwin sekalipun masih di atas kerusi roda.
Menurut laporan itu, Rins akan menjadi rakan sepasukan baharu Fabio Quartararo sebagai dua pelumba pasukan utama Yamaha bagi kempen MotoGP 2024 menggantikan Franco Morbidelli.
Sejak menyertai LCR, kempen Rins tidak begitu baik sekalipun menjadi pelumba pertama Honda memenangi perlumbaan di GP Americas dan bergelar pelumba Honda pertama selain Marc Marquez menjuarai perlumbaan dalam tempoh lima tahun.
Dan Rins juga tidak gemar untuk menutup mulut untuk mengkritik pasukannya, yang menyaksikan Honda memberi arahan kepada LCR agar dia tidak lagi mengkritik pasukan kepada media.
Selepas mengalami kecederaan di pusingan enam di Mugello, Rins kini sudah terlepas tiga pusingan perlumbaan dan dijangka turut tidak akan beraksi di GP Great Britain bagi menjalani proses pemulihan.




Sumber imej: FB Álex Rins
