YAMAHA Dapatkan Tandatangan Miguel Oliveira Untuk Pramac
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/5/20241 min read


YAMAHA Racing mengesahkan kehadiran pelumba berpengalaman, Miguel Olivera bersama pasukan satelitnya di MotoGP, Pramac Yamaha bermula musim depan.
Perkembangan itu, yang sememangnya sudah pun dijangka menyaksikan pelumba kelahiran Portugal itu akan menunggang jentera Yamaha M1 spesifikasi 'kilang' yang turut digunakan Fabio Quartararo dan Alex Rins di Monster Yamaha.
Seperti di Trackhouse Aprilia, Oliveira menandatangani kontrak pengeluar selama dua tahun bersamaa Yamaha Racing.
"Satu penghargaan untuk saya mewakili jenama ikonik dalam sukan ini seperti Yamaha," kata Oliveira. "Sepanjang perjalanan saya selama bertahun-tahun sejak tiba MotoGP, saya sentiasa melihat jentera Biru ini dengan penuh minat.
"Ia kini realiti, dan saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Yamaha Motor atas komitmen mereka kepada saya untuk fasa transisi penting projek ini.
"Lin Jarvis (Pengarah Urusan Yamaha Racing) adalah individu penting yang memulakan perbincangan ini dan menjadikannya kenyataan. Saya percaya saya boleh memberi sumbangan untuk tempoh transisi ini untuk membawa kembali Yamaha ke tempat teratas."
Jarvis dalam pada itu menjelaskan pemenang lima perlumbaan MotoGP Oliveira sebagai pelumba yang diperlukan pengeluar itu untuk meningkatkan prestasi Yamaha YZF-M1.
"Kami gembira untuk mengumumkan yang pelumba profesional dan berpengalaman Miguel Oliveira menyertai Yamaha bagi musim 2025 dan 2026, dan kami mengalu-alukan kehadirannya ke projek MotoGP Yamaha," kata Jarvis.
"Miguel adalah pelumba yang mempunyai pengetahuan dari sudut teknikal, pengalaman, kelajuan, dan ketepatan yang diperlukan untuk meningkatkan prestasi Yamaha M1.
"Kami tidak sabar untuk menjalankan kerjasama dengannya sebagai antara watak penting dalam projek Yamaha MotoGP dan dia boleh mengharapkan sokongan penuh daripada kami."
Bersama Trackhouse Aprilia, keputusan terbaik Oliveira adalah di tempat ke-4 perlumbaan utama dan tempat ke-2 pada Perlumbaan Sprint.
Bos Pramac, Paolo Campinoti berkata pasukannya mengalu-alukan kehadiran Oliveira.
"Pengalaman luasnya dalam sukan ini akan selari dengan sempurna dengan pasukan kami dan dengan projek yang akan kami sertai bersama sokongan penuh Yamaha," kata Campinoti.
