YAMAHA Dedah Prototaip Enjin Yamaha YZF-M1 V4 Di Misano
Sejak 2002 hingga kini, Yamaha berjaya merangkul lapan kejuaraan dunia bagi kategori pelumba menerusi legenda seperti Valentino Rossi (empat kali), Jorge Lorenzo (tiga kali) dan Fabio Quartararo (sekali) selain mengumpul 125 kemenangan Grand Prix
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/11/20252 min read


YAMAHA Racing akhirnya mendedahkan jentera prototaip MotoGP terbaharunya yang dikuasakan dengan enjin konfigurasi V4, Yamaha YZF-M1 V4 - petanda era penggunaan enjin 4 Silinder Sebaris yang menjadi nadi pasukan itu selama lebih dua dekad hampir berakhir.
Diperkenalkan dalam satu majlis di Misano, Yamaha YZF-M1 V4 juga akan membuat penampilan sulungnya dalam perlumbaan di Grand Prix (GP) San Marino Litar Misano, minggu ini yang akan ditunggang oleh pelumba uji, Augusto Fernandez menerusi tiket wildcard.
Perkembangan ini adalah perubahan strategik besar yang dilakukan oleh Yamaha dalam usaha mereka untuk kembali mencabar kejuaraan dunia selepas mengharungi beberapa musim yang suram.
Sejak era empat lejang bermula pada 2002, jentera Yamaha M1 yang menggunakan konfigurasi enjin 4 Silinder Sebaris sudah membawa kejayaan besar kepada mereka.
Sepanjang tempoh itu, pengeluar Jepun itu berjaya merangkul lapan kejuaraan dunia bagi kategori pelumba menerusi legenda seperti Valentino Rossi (empat kali), Jorge Lorenzo (tiga kali) dan Fabio Quartararo (sekali), selain mengumpul 125 kemenangan Grand Prix.
Tetapi kemenangan terakhir mereka direkodkan di Litar Sachsenring, Jerman pada tahun 2022, dan sejak itu prestasi pasukan semakin merosot.
Pelumba bintangnya, Quartararo juga jatuh daripada kedudukan naib juara dunia pada 2022 kepada tempat ke-10 pada 2023, dan kini sekadar menduduki tangga ke-13 secara keseluruhan bagi musim 2024.
Sekalipun Quartararo pada musim ini berjaya menunjukkan sedikit tanda kebangkitan dengan meraih podium pertama Yamaha sejak 2023 dan hampir memenangi perlumbaan di Silverstone sebelum jenteranya mengalami masalah teknikal, dia kini hanya berada di kedudukan kelapan dunia.
Mengulas mengenai projek itu, Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Sukan Permotoran Yamaha, Takahiro Sumi, berkata Yamaha YZF-M1 V4 adalah satu projek yang sangat bercita-cita tinggi dan mencabar.
"Kami sudah mengambil satu projek yang besar dengan membangunkan enjin V4 dan sebuah jentera yang serba baharu. Ia amat menuntut, terutamanya apabila dilakukan serentak dengan pembangunan jentera untuk musim 2025,” kata Sumi.
Menurutnya, matlamat utama projek itu adalah untuk mengembalikan Yamaha ke landasan kemenangan dengan pendekatan berasaskan bukti dan membabitkan kerjasama erat antara jurutera di Jepun dan Eropah.
"Penerokaan adalah sebahagian daripada DNA Yamaha. Prototaip V4 ini membuka satu lagi laluan teknikal untuk kami. Kami akan menggunakan jentera mana yang terbukti paling kompetitif."
Projek pembangunan enjin V4 ini pertama kali disahkan oleh Yamaha setahun yang lalu dan dijalankan secara selari dengan pembangunan jentera sedia ada.
Jentera prototaip V4 itu sudah melalui sesi ujian persendirian yang ekstensif di tangan Fernandez, dengan maklum balas tambahan daripada pelumba berpengalaman seperti Andrea Dovizioso dan Cal Crutchlow.
Terbaharu, Quartararo dan rakan sepasukannya, Alex Rins, turut berpeluang menguji jentera V4 itu buat kali pertama dalam sesi ujian di Barcelona pada Isnin lalu sebelum tiba di Misano.
