YAMAHA Ego Gear Pro (2025) Dilancarkan, Asas RM 6,198

Penawaran terbaharu daripada Yamaha Motor Malaysia dalam segmen skuter cilik yang tampil dengan beberapa pembaharuan yang dikatakan menarik

PELANCARAN

11/27/20251 min read

YAMAHA Motor Malaysia mengemaskini penawaran dalam segmen skuter cilik menerusi pelancaran Yamaha Ego Gear Pro (2025) yang tiba bersama penawaran harga menarik, RM 6,198.

Seperti biasa, harga jualan yang diumumkan adalah asas, tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan insuran dan 'harga kedai'.

Menariknya, pelancaran skuter berkenaan dijalankan di Terengganu dan datang bersama tiga pilihan warna pilihan iaitu Stellar White, Navy Greeen dan Cosmic Blue.

Selain tiba dengan rekaan serba baharu yang menurut Yamaha Motor Malaysia lebih menarik dan segar, seperti namanya yang panjang, Yamaha Ego Gear Pro (2025) dilengkapi dengan beberapa ciri menarik dan berteknologi iaitu Hybrid.

Antara ciri yang ditawarkan adalah sistem Power Assist yang memberikan kuasa tambahan apabila diperlukan terutama ketika memecut atau menaiki bukit ketika membawa pembonceng dan sistem Smart Motor Generator (SMG) yang menawarkan permulaan senyap, one-push start dan operasi Stop & Start.

Di bahagian trenkuasa, Yamaha Ego Gear Pro (2025) dijana enjin dengan teknologi Blue Core Hybrid bersesaran 125 cc, 1 Silinder, bersama transmisi automatik CVT.

Kuasa yang dihamburkan adalah 8.2 Hp pada 6,500 rpm dan tork 9.9 Nm pada 5,00 rpm. Begitupun, angka berkenaan boleh meningkat kepada 10.6 Nm apabila Power Assist diaktifkan.

Menurut Yamaha, sistem itu membuatkan Yamaha Ego Gear Pro menawarkan penjimatan bahan api lebih baik serta getaran enjin yang rendah dan menjadikannya pilihan terbaik untuk kegunaan harian dan untuk mereka yang mementingkan praktikaliti.

Suspensi menggunakan fork teleskopik (depan) dan penyerap hentak tunggal (belakang) dengan brek menggunakan cakera (depan) dan dram (belakang) bersama set rim 12 inci untuk kedua-dua roda.

Info lain adalah seperti:

  • Ruang simpanan bawah pelana 18.6 liter

  • Rekaan pelana direka semula untuk keselesaan lebih baik

  • Lampu depan LED

  • Panel meter digital LCD

  • Ada ciri sambungan ke telefon pintar menerusi Y-Connect

  • Tangki bahan api 5.1 liter