YAMAHA Eropah Dedah XSR900 GP (2024), Imbau Memori GP Era 1980-an

TERKINI

10/26/20231 min read

YAMAHA diakui memang pandai 'mengambil hati' peminatnya terutama yang meminati arena sukan permotoran apabila mendedahkan model yang disifatkan cukup mengimbau memori, Yamaha XR900GP (2024).

Dari sudut penampilan, Yamaha XSR900 GP (2024) memang tak menyerupai sebuah motosikal moden dengan rekaannya lebih kepada jentera lumba yang popular ketika era 1980 dan 1990-an terutama Yamaha YZR500.

Malah, tak salah untuk menyatakan rekaannya cukup mirip model yang menjadi kegilaan ramai peminat retro antaranya Yamaha TZR.

Tetapi sekalipun rekaan Yamaha XSR900 GP (2024) cukup retro dan dipadankan kerangka Deltabox, begitupun teknologi yang dipadankan kepada motosikal ini adalah moden menerusi platform Yamaha XSR900.

Bermula dari trenkuasa, Yamaha XSR900 GP (2024) dipadankan dengan enjin yang 'biasa' didengar, CP3 890 cc, 3 Silinder Sebaris, 12 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Turut dipadankan dengan klac Assist & Slipper dan 'Qucicshifter', kuasa yang dihasilkan adalah 117.3 Hp pada 10,000 rpm dengan tork sebesar 93 Nm pada 7,000 rpm.

Sebagai motosikal retro moden, Yamaha XSR900 GP (2024) turut dipadankan dengan pelbagai teknologi canggih termasuk sistem 'Intertial Measurement Unit (IMU) 6 Axis.'

Selain mod tunggangan (4 mod), ia lengkap dengan pelbagai sistem bantuan tunggangan elektronik antaranya Kawalan Traksi, Sistem Kawalan Geluncur (SCS), Sistem Kawalan Wheelie, Sistem Kawalan Brek (BC) dan Kawalan Jelajah - ciri yang boleh didapati pada model yang menggunakan trenkuasa sama.

Di bahagian suspensi, Yamaha XSR900 GP (2024) dipadankan dengan fork jenis terbalik (USD) KYB dengan ciri pelarasan penuh (depan) dan penyerap hentak tunggal KYB juga dengan ciri pelarasan penuh (belakang).

Sistem brek dipacu cakera berkembar 298 mm (depan) dan cakera tunggal 245 mm (belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).

Bagi paparan kluster instrumen, ia menggunakan panel meter 5 inci berwarna TFT yang lengkap dengan sambungan ke telefon bimbit.

Ciri-ciri unik lain adalah sepeti penggunaan 'peg' kaki boleh laras aluminium, bar hendal jenis 'clip-on', 'cowl' belakang boleh alih untuk pelana pembonceng serta port pengecas USB.

Setakat ini, Yamaha Motor Eropah masih belum mengumumkan harga jualan untuk Yamaha XSR900 GP (2024) malah belum diketahui sama ada ia akan dijual di pasaran luar benua itu atau tidak.