YAMAHA Fazzio x FILA Limited Edition (2024) Lancar Di Thailand, Menarik, Unik!
TERKINI
4/12/20241 min read
YAMAHA Motor Thailand, sempena Pameran Motor Antarabangsa Bangkok 2024, baru-baru ini memperkenalkan model edisi terhad skuter Yamaha Fazzio x FILA Limited Edition (2024).
Seperti namanya yang memiliki perkataan 'Limited Edition' (Edisi Terhad), hanya 2,500 unit skuter bergaya retro-klasik berkenaan dihasilkan di seluruh dunia.
Sebagai model edisi terhad, antara keistimewaan Yamaha Fazzio x FILA Limited Edition (2024) adalah dari sudut penampilan yang unik dan menarik.
Dipadankan dengan skema warna gabungan Putih, Merah dan Biru, ia kemudian 'disulam' dengan beberapa logo dan tulisan FILA termasuk di panel sisi.
Lebih menarik, turut tersedia bersama Yamaha Fazzio x FILA Limited Edition (2024) adalah barisan kelengkapan aksesori menunggang seperti helmet dan jaket.
Untuk persoalan mengenai harga, Yamaha Fazzio x FILA Limited Edition (2024) dijual pada angka THB 62,900 (RM 8,244).
Mengulas ringkas trenkuasa, Yamaha Fazzio x FILA Limited Edition (2024) dipadankan dengan enjin Hybrid bersesaran 125 cc, 1 Silinder, 2 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Udara, SOHC bersama transmisi automatik.
Antara ciri-ciri menarik yang tersedia termasuklah Sistem Kunci Pintar, Sitem Henti & Mula, Port Pengecas USB, Panel Meter Digital LCD. Info lain seperti tangki bahan api 5.1 liter dan sistem brek UBS (Gabungan cakera dan dram).
Kepada yang mengikuti perkembangan, FILA sebenarnya tidak asing dalam kolaborasi dengan jenama motosikal dan pernah menjalin kerjasama dengan Vespa dan Ducati.
Sebagai info, Yamaha Motor Malaysia tidak menjual Yamaha Fazzio di pasaran tempatan.