YAMAHA Jalani Perubahan 'Penampilan' Major Di Ujian MotoGP Jerez, Tapi...

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/1/20242 min read

YAMAHA menjalani perubahan besar-besaran dari sudut 'penampilan' ketika ujian MotoGP di Jerez, Sepanyol, baru-baru ini menerusi penggunaan pakej aerodinamik selain casis baharu.

Turut diuji adalah pakej elektronik terbaharu namun malangnya, segala pembaharuan yang dijalankan tampak kurang menyakinkan dari sudut kelajuan dengan Alex Rins melakukan catatan ke-14 terpantas manakala Fabio Quartararo mencatat masa ke-18 terpantas.

Untuk Quartararo, pakej aerodinamik baharu - yang menampilkan tiga barisan 'sayap' di bahagian depan berbanding dua sebelum ini, ditambah dengan rekaan 'fairing' sisi ala KTM/Ducati - digambarkan sebagai 'biasa', tidak teruk atau tidak bertambah baik.

Begitupun daripada data yang diperoleh daripada jentera Quartararo menunjukkan sedikit peningkatan dapat diraih dan pelumba kelahiran Perancis itu teruja untuk melihat bagaimana ia digunakan di trek berbeza.

Rins dalam pada itu menyifatkan penampilan Yamaha M1 sebagai 'menakjubkan' tetapi ketika diuji, 'fairing' baharu yang digunakan tidak memberikan kesan begitu ketara di atas litar.

Justeru, pelumba kelahiran Sepanyol itu menyifatkan pakej baharu sebagai 'langkah ke depan'.

"Kami masih tidak boleh menggunakannya di Le Mans kerana jurutera memerlukan lebih masa," kata Rins.

Mengenai penggunaan casis baharu, Rins dan Quartararo masing-masing mempunyai pandangan yang berbeza.

"Sedikit peningkatan ketika memasuki selekoh tetapi tidak begitu baik ketika memusing," kata Quartararo.

"Saya tidak begitu menggemarinya (casis) kerana saya tidak dapat merasai pembaikkan ketika memusing," kata Rins.

Segala pembaharuan, selain pembangunan pakej elektronik akan diuji sekali lagi di ujian persendirian sebelum dapat digunakan di perlumbaan.

Berpandukan kepada data, masa yang direkodkan Quartararo ketika GP Sepanyol di Jerez yang menyaksikan dia menamatkan perlumbaan di tempat kedua adalah 30 saat lebih pantas berbanding perlumbaan yang diharunginya Ahad lalu.

Dan jika catatan masa 2022 berjaya diulang, pelumba kelahiran Perancis itu boleh menamatkan perlumbaan di tangga ke-3 dan bukannya ke-15.

Berikut catatan ujian MotoGP 2024 di Jerez

  1. Fabio Di Giannantonio (ITA) VR46 Ducati (GP23), 1:36.405s

  2. Maverick Vinales (SPA) Aprilia Racing (RS-GP24), +0.087s

  3. Franco Morbidelli (ITA) Pramac Ducati (GP24), +0.122s

  4. Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP24), +0.184s

  5. Marc Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP23), +0.232s

  6. Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), +0.234s

  7. Aleix Espargaro (SPA) Aprilia Racing (RS-GP24), +0.339s

  8. Alex Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP23), +0.371s

  9. Enea Bastianini (ITA) Ducati Lenovo (GP24), +0.387s

  10. Jorge Martin (SPA) Pramac Ducati (GP24), +0.488s

  11. Pedro Acosta (SPA) Red Bull GASGAS Tech3 (RC16)*, +0.488s

  12. Raul Fernandez (SPA) Trackhouse Aprilia (RS-GP23), +0.500s

  13. Marco Bezzecchi (ITA) VR46 Ducati (GP23), +0.515s

  14. Alex Rins (SPA) Monster Yamaha (YZR-M1), +0.619s

  15. Miguel Oliveira (POR) Trackhouse Aprilia (RS-GP24), +0.658s

  16. Takaaki Nakagami (JPN) LCR Honda (RC213V), +0.921s

  17. Jack Miller (AUS) Red Bull KTM (RC16), +0.950s

  18. Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1), +1.033s

  19. Pol Espargaro (SPA) KTM Test Rider (RC16), +1.116s

  20. Johann Zarco (FRA) LCR Honda (RC213V), +1.251s

  21. Joan Mir (SPA) Repsol Honda (RC213V), +1.379s

  22. Augusto Fernandez (SPA) Red Bull GASGAS Tech3 (RC16), +1.445s

  23. Luca Marini (ITA) Repsol Honda (RC213V), +1.748s

  24. Lorenzo Savadori (ITA) Aprilia Racing (RS-GP24), +2.437s