YAMAHA Jepun Umum Tarikh Pelancaran Yamaha XSR155 ABS
Pelancaran Yamaha XSR155 ABS katanya didorong oleh permintaan tinggi pengguna Yamaha XSR125 yang mahukan jentera lebih berkuasa untuk tunggangan jarak jauh dan kemampuan merentasi lebuh raya
5/20/20261 min read


YAMAHA Motor Jepun mengumumkan tarikh pelancaran model 'Naked' bergaya 'Neo Retro' yang ditunggu-tunggu, Yamaha XSR155 ABS (2026) iaitu pada 30 Jun ini dengan harga jualan cadangan bermula 539,000 yen (sekitar RM 16,500).
Persoalannya, bilakah ia akan menjengah pasaran Malaysia?
Sebagai info, kemunculan model dengan sesaran enjin 155 cc mengikuti kehadiran model bersesaran 125 cc dalam keluarga XSR di pasaran negara matahari terbit itu.
Dan katanya, ia didorong oleh permintaan tinggi pengguna Yamaha XSR125 yang mahukan jentera lebih berkuasa untuk tunggangan jarak jauh dan kemampuan merentasi lebuh raya.
Dibangunkan berteraskan konsep "fashionable x fun to ride", Yamaha XSR155 ABS menggabungkan penggayaan retro klasik yang menjadi identiti siri XSR dengan ciri warisan XSR seperti lampu utama LED dan meter LCD berbentuk bulat, namun disuntik dengan elemen lasak menerusi padanan tayar berbunga blok serta kemasan pelana gaya tuck roll.
Dari sudut trenkuasa, motosikal ini dipacu enjin VVA bersesaran 155 cc, 1 Silinder, 4 Injap, Penyejuk Cecair, 4-lejang SOHC yang dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dan klac Assist & Slipper (A&S)
Kuasa berada pada angka 19 PS pada 10,000 rpm dan tork 14 Nm pada 7,500 rpm.
Berbalik kepada pasaran tempatan, ketiadaan model Yamaha XSR155 di Malaysia sering menjadi bualan hangat dan tanda tanya peminat jenama itu.
Dengan pengumuman di Jepun, adakah pengedar eksklusif, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) akhirnya akan menjawab 'doa' peminat jentera retro di sini? Sama-sama kita nantikan.

