YAMAHA Kekal 'Raja' Motosikal Di Malaysia, Segmen Elektrik Terlalu Rendah!

TERKINI

12/11/20231 min read

YAMAHA terus mengekalkan statusnya sebagai 'Raja' dari sudut jualan motosikal di Malaysia pada 2023, menurut data yang dikeluar dan dikongsikan oleh portal McD.

Begitupun, data yang dikongsikan berkemungkinan hanya membabitkan jumlah jualan yang direkodkan pada tiga suku pertama 2023 yang menyaksikan jualan motosikal mengalami penyusutan cukup teruk sebanyak 14.2 peratus.

Berdasarkan data McD, pendahulu pasaran kekal Yamaha sekalipun peratusan jualan pengeluar Jepun itu pada 2023 menjunam 9.5 peratus berbanding tahun lalu.

Di tangga kedua adalah Honda (penurunan 2.7 peratus) diikuti Modenas yang turut mengalami penurunan jualan sebanyak 9.4 peratus.

Begitupun, tidak diketahui sama ada McD memperoleh data daripada kesemua pengedar eksklusif di Malaysia atau hanya syarikat yang bernaung di bawah Persatuan Pengeluar Motosikal Malaysia (MMSDA).

Sementara itu, data yang dikeluarkan turut menunjukkan yang segmen motosikal elektrik masih cukup kecil di Malaysia.

Sekalipun mencatat pertumbuhan 218 peratus, begitupun angka jualan yang dikongsikan menyatakan jualannya hanyalah beberapa ratus.

Selain itu, turut tidak disenaraikan adalah segmen Premium dengan antara 'pemainnya' adalah KTM, BMW, Harley Davidson dan Triumph.