'YAMAHA Komited Dengan Projek V4'
Pada Pusingan 1 di GP Thailand 2026, pelumba terbaik Yamaha adalah Fabio Quartararo di kedudukan ke-14 dan melepasi garisan penamat lebih 30 saat di belakang pemenang, Marco Bezzecchi dari Aprilia Racing.
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/9/20261 min read


KEPUTUSAN yang diperoleh kem Yamaha di pusingan pembukaan MotoGP 2026 di Thailand membuatkan bos Yamaha Racing, Paolo Pavesio mengakui mereka berdepan tugas cukup berat bersama jentera MotoGP baharu berkuasa V4.
Begitupun, pengeluar motosikal gergasi Jepun itu menegaskan mereka kekal komited sepenuhnya dengan projek berkenaan.
Selepas membuat penampilan menerusi tiket wildcard pada musim lalu, enjin V4 baharu Yamaha kini membuat kemunculan secara sepenuh masa pada kempen MotoGP 2026.
Tetapi pusingan pembukaan di Buriram baru-baru ini mendedahkan realiti dan betapa besarnya cabaran yang menanti pasukan itu.
Catatan terbaik kem Yamaha sekadar menghuni petak ke-16 pada pusingan kelayakan menerusi Fabio Quartararo, manakala Jack Miller menamatkan Perlumbaan Pecut (Sprint) di tempat ke-15 dan Quartararo ke-14 pada perlumbaan utama (Grand Prix).
Lebih membimbangkan, jentera V4 merekodkan jurang sekitar satu saat sepusingan berbanding kelompok pendahulu.
Keputusan buruk itu menyaksikan tiada pelumba Yamaha hadir ke sidang media GP Thailand dan digantikan dengan Pavesio.
Pavesio mengakui mereka kini dapat melihat dengan jelas di mana tahap jurang mereka.
"Tetapi kami komited, sama seperti ketika kami mula-mula membuat keputusan ini, untuk melangkah ke hadapan satu demi satu. Pelumba kami sudah memberikan 110 peratus, syarikat juga memberikan 110 peratus, dan kami akan terus melakukannya. Ini satu-satunya jalan penyelesaian. Tiada magis dalam sukan ini."
Setakat ini, jangkaan untuk mendapatkan cengkaman belakang yang lebih baik masih belum membuahkan hasil, selain prestasi enjin yang masih ketinggalan di belakang pengeluar pesaing.
Begitupun, keputusan Yamaha beralih ke V4 sebenarnya banyak didorong oleh persiapan menghadapi peraturan aerodinamik baharu menjelang era enjin 850cc pada 2027, yang lebih memihak kepada reka bentuk jentera yang lebih tirus.
"Kami sedang berada dalam fasa perjalanan yang diputuskan sejak tahun lalu, dengan mempertaruhkan projek berasaskan enjin dan konsep yang serba baharu," kata Pavesio.
Keputusan buruk di Thailand menyaksikan tiada pelumba Yamaha hadir ke sidang media GP Thailand dan digantikan dengan Pavesio.

