YAMAHA Lagi Bergelut Dari Honda - Fabio Quartararo
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/6/20241 min read


FABIO Quartararo sekali lagi menamatkan aksi MotoGP sebagai pelumba terbaik pengeluar Jepun di Silverstone, minggu lalu namun bintang Yamaha itu menjelaskan pasukannya lebih banyak bergelut berbanding Honda.
Terpaksa kehilangan khidmat Alex Rins yang masih belum cergas, Quartararo mengharungi sesi kelayakan yang mengecewakan untuk memulakan perlumbaan di petak ke-18.
Begitupun, pelumba kelahiran Perancis itu berjaya bangkit untuk menamatkan kedua-dua perlumbaan, Sprint dan MotoGP di kedudukan ke-11 yang jelas lebih baik berbanding kem Honda.
Malah, juara dunia MotoGP 2021 itu turut menamatkan perlumbaan lebih baik berbanding dua jentera Eropah iaitu Aprilia (Maverick Vinales) dan Jack Miller (KTM) pada perlumbaan utama.
"Pada minggu ini kami bergelut lebih banyak berbanding pelumba-pelumba Honda," kata Quaratararo mengulas aksinya di Silverstone.
"Ini disebabkan cengkaman yang kami ada lebih sedikit berbanding mereka, tetapi seperti saya cakapkan saya fikir memberi tekanan semaksimum mungkin adalah satu-satunya perkara yang saya boleh buat sekarang.
"Pada akhirnya saya dapat bersaing dengan Maverick (Vinales) dan (Jack) Miller dan Franko Morbidelli yang memintas saya pada pusingan terakhir.
"Tetapi kami mengetahui dengan jelas di mana titik lemah kami dan kami perlu bekerja keras mengenainya untuk bersaing merebut posisi yang lebih baik," katanya.
Ketika ditanya mengenai 'liveri' retro yang digunakan Monster Yamaha, Quaratararo jelas menggemarinya.
"Ia nampak lebih baik berbanding daripada apa yang dirasai. Ia juga lebih baik kerana kami cuba untuk mengekalkan jentera yang sama seperti perlumbaan Sprint. Jadi ia lebih baik tetapi kami masih mempunyai banyak kelemahan.
"Tetapi kami memberikan segala-gala yang kami ada, jadi kami gembira dengan apa yang kami lakukan sekalipun ia tidak mencukupi," katanya.
Selepas 10 pusingan, Quartararo ketika ini menghuni tangga ke-14 carta pelumba selepas mengumpul 49 mata dengan pelumba terbaik Honda adalah Johann Zarco (LCR Honda) di tangga ke-18 dengan 14 mata.
