YAMAHA Lifestyle Mall Penang Dirasmikan, Pertama Dan Terbesar Di Malaysia!

TERKINI

11/26/20232 min read

YAMAHA Lifestyle Mall - pusat sehenti lengkap yang menempatkan tiga cabang perniagaan Yamaha dalam satu bumbung - Yamaha Motor, Yamaha Marine dan Yamaha Music dirasmikan, semalam di Pulau Pinang.

Terletak di lokasi strategik Juru Auto City, Seberang Perai, Yamaha Lifestyle Mall Penang dikendalikan oleh operator terkemuka di utara tanah air, Hong Bee Motors Sdn Bhd.

Dan ia sekaligus menjadi pusat sehenti lengkap Yamaha dengan status 'Mall' pertama dan terbesar di Malaysia, dan berkemungkinan pertama di Asia Tenggara setakat ini.

Berkeluasan 13,000 kaki persegi, Yamaha Lifestyle Mall Penang uniknya terletak di aras dua dan ia bukan saja menempatkan bilik pameran dan jualan komprehensif untuk ketiga-tiga divisyen perniagaan Yamaha, malah lebih daripada itu.

Untuk Yamaha Music, ia bukan saja menawarkan kelengkapan muzik Yamaha, malah termasuk sistem audiovisual, sistem bunyi termasuk pembesar suara.

Lebih daripada itu, ia turut menawarkan kelas pembelajaran untuk Yamaha Music, bilik mesyuarat, tiga bilik Studio dan ruang kerja.

Dan seperti pusat sehenti lengkap yang lain, ia turut merangkumi kafe GenBlue.

Apa yang lebih unik adalah Yamaha Lifestyle Mall Penang turut merangkumi pusat servis dan jualan alat ganti dengan motosikal yang ingin menjalani servis atau baik pulih perlu dibawa ke tingkat atas menggunakan lif jenis industri selain servis 'Valet'.

Gimik pelancaran turut unik dan berbeza yang menyaksikan kesemua tetamu kehormat termasuk Pengarah Urusan Kumpulan Hong Leong Industries Berhad, Prof. Dato' Dr. Jim Khor terbabit.

Turut terbabit dengan gimik pelancaran itu termasuklah Pegawai Eksekutif Senior, Ketua Pengurus Besar Operasi Perniagaan Kenderaan Darat Yamaha Motor Company, Ltd., Japan, Itaru Otani, Pengurus Kumpulan, Kumpulan Asia dan Timur Tengah, Amerika Tengah & Selatan, Devisi Pemasaran, Operasi Bahagian Pemasaran Perniagaan Marin Yamaha Motor Company, Ltd., Japan, Mitsuhiro Nakamura, Pengarah Urusan Yamaha Music (Malaysia) Sdn Bhd, Jin Katagiri dan Exco Pulau Pinang, YB H'ng Mooi Lye yang juga Adun Jawi.

Pengarah Urusan Hong Bee Motors Group, Justin Chuah ketika berucap berkata pihaknya percaya pembukaan Yamaha Lifestyle Mall Penang dan satu-satunya 'Mall' Yamaha di Malaysia ini akan menambahbaik pengalaman pelanggan Yamaha.

Ia sekaligus menjadi hab kepada mereka yang berkongsi semangat yang sama dengan jenama itu, katanya.

Pengurus Besar 3S & Marketing Hong Leong Yamaha Motor, Tim Hoo ketika memberi ucapan turut mengucapkan rasa bangga atas pembukaan Yamaha Lifestyle Mall Penang yang disifatkan sebagai bukti dan komitmen syarikat itu untuk meneruskan penambahbaikkan kepada pelanggan.

Kepada yang ingin mengunjungi Yamaha Lifestyle Mall Penang, ia mula membuka pintunya kepada orang awam bermula hari ini (26 November) yang juga Hari Pelanggan tahunannya.