YAMAHA M1 Terlalu Memenatkan Untuk Ditunggang - Fabio Quartararo

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/29/20241 min read

TIDAK seperti Perlumbaan Sprint pada Sabtu, bintang Yamaha Fabio Quartararo jelas bergelut pada perlumbaan utama Grand Prix (GP) Sepanyol di Jerez, semalam yang memberi petanda - dia tidak selesa dengan jentera Yamaha M1.

Quartararo dari Perancis pada aksi Sprint menamatkan perlumbaan di kedudukan podium (sebelum dirampas susulan penalti) namun hanya tempat ke-15 berjaya diperolehnya pada perlumbaan utama yang dimenangi Francesco Bagnaia.

Mengulas mengenai prestasinya semalam, juara dunia MotoGP 2021 itu menjelaskan jenteranya Yamaha M1 sukar untuk dikendalikan yang turut mengakibatkannya merasai kesakitan di bahagian lengan.

"Saya tidak berjaya untuk mendapatkan permulaan yang sama seperti saya dapat semalam (Sabtu)," kata Quartararo. "Kami berdepan isu dengan cengkaman belakang, dan kemudian jentera menjadi amat memenatkan secara fizikal untuk ditunggang.

"Saya berdepan kesakitan di bahagian lengan kerana saya melakukan brek dengan terlalu kuat, dan pada 10 pusingan terakhir saya tidak lagi mampu melakukan brek, jadi saya terpaksa memperlahankan diri.

"Saya boleh katakan ia benar-benar perlumbaan yang sukar. Kami kehilangan banyak cengkaman belakang dan ketika memusing, jadi harapnya pada ujian esok (hari ini) kami boleh mengubahnya.

"Saya tidak menjangkakan langkah yang amat besar, tetapi harapnya kami dapat mencari penambahbaikkan untuk mendapatkan perasaan yang lebih baik dengan jentera dan menjadi lebih laju."

Seperti Quartararo, Rin yang menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-13 turut mengakui berdepan masalah di bahagian lengan susulan kesukaran untuk mengawal jentera Yamaha M1.

"Memulakan perlumbaan di petak paling corot sentiasa tidak mudah, tetapi kami mendapat permulaan yang lebih baik berbanding semalam (Sabtu)," kata Rins.

"Saya dapat melangkau beberapa posisi, dam kemudian berada di belakang Fabio untuk hampir keseluruhan perlumbaan. Tetapi kemudian saya melihatnya bergelut dengan masalah (arm pump) sama seperti saya, dan saya berjaya mengejarnya dan memintasnya.

"Sudah tentu ia bukan keputusan yang kami mahukan, tetapi perlumbaan ini penting untuk kami kerana kami mendapat banyak informasi," kata pelumba kelahiran Sepanyol itu.