YAMAHA Motor Malaysia Rasmikan 'Space Y, Muzium Motosikal Pertama Di Malaysia!
TERKINI
11/8/20241 min read


YAMAHA Motor Malaysia mencipta satu lagi sejarah apabila merasmikan muzium motosikal Yamaha 'Space Y' yang turut dicatatkan dalam Buku Rekod Malaysia (MBoR) sebagai muzium motosikal pertama di Malaysia.
Menurut syarikat itu, pembukaan Space Y turut meraikan 45 tahun penubuhan Yamaha Motor Malaysia di negara ini yang sudah melalui pelbagai fasa termasuk inovasi robotik.
Terletak di Yamaha Motor Lifestyle Station di ibu pejabat HLYM di Sg Buloh, muzium berkeluasan 9,000 kaki persegi ini menampilkan sejarah, inovasi dan seni dunia motosikal Yamaha bukan saja di Malaysia, malah global.
Selain ruang pameran motosikal-motosikal Yamaha daripada yang terkini sehingga ke model retro, turut ditayangkan dua jentera MotoGP Yamaha, Yamaha M1.
Pameran yang tersedia adalah seperti berikut:
Sejarah dan Perlumbaan Yamaha: Pameran mengenai evolusi motosikal Yamaha yang memaparkan inovasi yang luar biasa dan legasi jenama ini dalam industri.
Terowong Inovasi: Perjalanan interaktif yang menonjolkan ketepatan dan teknologi terkini Yamaha dalam proses pengeluaran, mencerminkan komitmen jenama terhadap kualiti tanpa kompromi.
Ruang Interaktif dan Seni: Ruang dinamik di mana pengunjung dapat membabitkan diri dalam pengalaman reka bentuk dan penyesuaian, menampilkan elemen inovatif seperti teknologi AR dan 4D MotoXperience.
Teater: Kawasan khusus untuk video promosi terkini dan kandungan pendidikan, menghidupkan kisah Yamaha di skrin.
Kedai Space-Y: Pilihan eksklusif pakaian dan koleksi berjenama Yamaha Motor.
Ketika ini, tiada yuran kemasukan dikenakan kepada pengunjung yang ingin memasuki Space Y tetapi ia hanya dalam tempoh terhad sehingga 31 Disember 2024.
Space Y dibuka pada Isnin hingga Jumaat bermula jam 10 pagi hingga 5 petang dan Sabtu minggu pertama dan ketiga (10 pagi - 4 petang).
Tetapi bermula pada 1 Januari 2025, yuran kemasukan RM 5 dikenakan kepada pengunjung dewasa dan RM 3 kepada kanak-kanak.
























