YAMAHA Motor Malaysia Taja Skuad Ragbi 7s Negara!

Suntikan semangat daripada Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) kepada Kesatuan Ragbi Malaysia (KMA) khususnya terhadap persiapan skuad ragbi 7s lelaki dan wanita negara bagi menghadapi Sukan SEA ke-33 di Thailand hujung tahun ini

TERKINI

7/8/20251 min read

Hong Leong Yamaha Motor
Hong Leong Yamaha Motor

SYARIKAT pengedar eksklusif jenama Yamaha di Malaysia, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM), hari ini memeterai perjanjian penajaan bersama Kesatuan Ragbi Malaysia (KMA) khususnya terhadap persiapan skuad ragbi 7s lelaki dan wanita negara bagi menghadapi Sukan SEA ke-33 di Thailand hujung tahun ini.

Tampil sebagai penaja Perak, HLYM menyumbang RM 200,000 bagi menyokong latihan dan pembangunan kedua-dua skuad berkenaan yang mendapat julukan 'Bungaraya 7S'.

Majlis perjanjian berkenaan berlangsung di ibu pejabat HLYM di Sg Buloh dengan HLYM diwakili Pengarah Urusan, Profesor Dato’ Dr Jim Khor Mun Wei dengan KRM diwakili oleh Presiden badan induk itu, Amir Amri Mohamad.

Turut hadir adalah barisan pemain skuad lelaki dan wanita Bunga Raya 7s, pengurusan kanan HLYM dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif KRM.

Jim Khor dalam ucapannya berkata penajaan itu selaras dengan komitmen jenama berkenaan terhadap sukan bukan saja permotoran sambil menekankan bahawa nilai seperti semangat juang, ketabahan dan kerjasama pasukan amat selari dengan prinsip jenama Yamaha.

"Kami berharap penajaan ini dapat membantu keperluan penting pasukan ragbi 7s negara termasuk latihan, pemakanan dan elaun atlet menjelang temasya Sukan SEA."

Sementara itu, Amir mengucapkan penghargaan kepada HLYM atas kesudian syarikat itu menaja pasukan Bunga Raya 7s.

"Majoriti pemain adalah terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi, yang sentiasa menampilkan semangat positif dan komitmen tinggi dalam setiap sesi latihan dan pertandingan meskipun berdepan pelbagai kekangan," katanya.

Sementara itu, pihak HLYM turut mengumumkan yang francais makanannya, Genblu Cafe turut memperkenalkan hidangan khas ‘BLUngaraya 7’s Chicken’ yang diinspirasikan oleh kekuatan dan perpaduan pasukan ragbi 7S negara.

Dikatakan menampilkan tujuh ramuan terpilih dan menariknya, menu berkenaan bukan saja menyerlahkan kepentingan pemakanan seimbang dalam menyokong prestasi atlet, tetapi lebih menarik 7 peratus daripada keuntungan jualan hidangan berkenaan akan disumbangkan kepada KRM untuk pembangunan ragbi negara.

Sebagai info, ragbi adalah salah satu sukan utama di Sukan SEA dan pasukan Bunga Raya 7s sudah mencatat kejayaan membanggakan dengan meraih pingat perak dan gangsa pada edisi 2019 serta muncul naib juara dalam Kejohanan Asia Tenggara 7s di Singapura, baru-baru ini.