YAMAHA MT-07 (2025) Generasi Ke-4 Lengkap Y-AMT 'Mendarat' Di Jepun
TERKINI
2/11/20251 min read


YAMAHA memperkenalkan generasi terbaharu Yamaha MT-07 tahun lalu yang turut datang dengan pilihan varian Y-AMT (Yamaha Automatic Manual Transmission) dan baru-baru ini, model berkenaan akhirnya diumumkan di pasaran Jepun.
Sebagai model generasi baharu, pelbagai kemas kini menarik diberikan kepada Yamaha MT-07 (2025) termasuk dari sudut rekaan keseluruhan yang kini tampak lebih garang dan moden mengikuti model 'abangnya', Yamaha MT-09.
Dan menerusi varian Y-AMT, ia tidak lagi memiliki tuil klac dan pedal gear dengan penukaran gear dilakukan secara automatik atau secara manual menggunakan butang suis (+) dan (-) yang diposiskan di sebelah kiri bar hendal.
Kepada yang mahukan tunggangan lebih agresif namun kekal dalam mod automatik, turut tersedia adalah tetapi D+ yang memberikan penukaran gear lebih agresif.
Kekal sebagai motosikal yang ringan dan lincah, antara pembaharuan lain yang boleh dikatakan menarik selain ciri Y-AMT adalah ia turut menjadi model yang dipadankan dengan teknologi terbaharu YCC-T (Yamaha Chip Controlled Throttle).
Menurut Yamaha, YCC-T memberikan pembukaan terotel dengan lebih tepat dan responsif sekaligus menjimatkan penggunaan bahan api.
Selain itu, turut tersedia adalah ciri Kawalan Jelajah atau 'Cruise control' tetapi ia datang mengikut varian.
Teknologi lain yang diperkenalkan termasuklah 'Acoustic Amplifier' dengan Yamaha menjelaskan ia meningkatkan bunyi ekzos dan lebih 'merdu' ketika terotel dipulas keras.
Peningkatan lain termasuklah penggunaan panel meter 5 inco TFT berwarna lengkap dengan ciri sambungan telefon pintar, sistem suspensi depan yang kini menggunakan fork jenis terbalik (USD) dan lengan ayun baharu yang nampak lebih gagah.
Di bahagian trenkuasa, motosikal ini kekal dengan enjin bersesaran 690 cc, Parallel twin yang menghasilkan kuasa 73.4 PS @ 8750 rpm dan tork 67 Nm @ 6500 rpm dan turut datang dengan ciri Kawalan traksi dan klac 'Assist & Slipper'.
Seperti motosikal moden lain, Yamaha MT-07 (2025) memiliki mod kuasa dan mod tunggangan.
Informasi lain adalah seperti berat 183 kg, tinggi pelana 805 mm dan tangki bahan api 14 liter.
Yamaha Motor Malaysia seperti diketahui tidak membawa masuk generasi ketiga Yamaha MT-07 ke pasaran tempatan tetapi melihat kepada penambah baikkan yang diterima model generasi ke-4, syarikat itu mungkin mengubah fikirannya.












