YAMAHA MT-09 (2024) Berubah 'Wajah' Lagi, Dah Ada 'Cruise Control', Tapi Kurang 'Garang'?

TERKINI

11/1/20232 min read

KURANG tiga tahun selepas diberikan pembaharuan besar-besaran, 'jagoan' Yamaha dalam segmen 'Naked', Yamaha MT-09 sekali lagi diberikan kemas kini terbaharu yang boleh dianggap komprehensif (2024) termasuk dari sudut penampilan.

Selain gaya atau rekaan baharu dengan ada yang mendakwanya kurang 'agresif', turut mengalami kemas kini termasuklah dari sudut elektronik, komponen, perkakasan, piawaian emisi dan ergonomik.

Sebelum pergi lebih jauh, tiada perubahan membabitkan spesifikasi trenkuasa dengan Yamaha MT-09 (2024) kekal dengan padanan enjin Crossplane CP3 bersesaran 890 cc, 3 Silinder Sebaris, 12 Injap, 4 Lejang, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Begitupun, enjin yang digunakan sudah mendapat piawaian emisi Euro 5+. Dan seperti versi terdahulu, ia turut dipadankan dengan klac 'Assist & Slipper' dan sistem 'Quickshifter' 'Up-down' generasi ketiga.

Kuasa yang dihasilkan juga kekal 119 PS pada 11,000 rpm dan tork 93 Nm pada 7,000 rpm.

Mengulas perubahan dari sudut penampilan, antara paling ketara adalah rekaan bahagian depan dengan lampu LED depan tampil dengan rekaan lebih bersegi, tajam dan kurang 'alien' berbanding model sebelum ini.

Selain itu, turut berubah adalah rekaan tangki bahan api dengan penambahan ciri 'Acoustic amplifier grilles', pelana dan bahagian lampu belakang yang tampak lebih moden.

Turut mengalami kemas kini adalah di bahagian brek menerusi penggunaan 'Radial master cylinder' dari Brembo dan tuil klac kini boleh laras.

Selain butang tetapan yang mengalami perubahan, antara yang menarik adalah Yamaha MT-09 (2024) kini memiliki teknologi Kawalan Jelajah (Cruise Control).

Bahagian panel meter turut dinaiktaraf dan memiliki ciri sambungan ke telefon bimbit menerusi Bluetooth dan aplikasi Yamaha MyRide. Selain itu, ia turut datang dengan ciri navigasi menggunakan aplikasi 'Garmin StreetCross' sama seperti Yamaha TMax.

Memiliki teknologi IMU 6 paksi, ia membenarkan Yamaha MT-09 (2024) lima mod tunggangan (3 tetapan tersedia), tiga tahap Kawalan Traksi, Kawalan Gelincir, Kawalan Wheelie, Kawalan Brek selain teknologi 'Back Slip Regulator' yang mengawal tayar belakang agak ia tidak terkunci ketika 'hard braking'.

Sistem suspensi menggunakan fork jenis terbalik (USD) 41 mm KYB dengan ciri pelarasan penuh dan penyerap hentak tunggal belakang dengan sistem 'linkage' turut dikemaskini.

Antara pembaharuan lain termasuklah signal dengan ciri 'self-cancelling', bar hendal dan peg kaki boleh laras (dua posisi).

Informasi lain adalah seperti ketinggian pelana 825 mm, kapasiti tangki bahan api 14 liter. Dan dengan semua perubahan, Yamaha MT-09 (2024) kini mengalami penambahan berat 4 kg kepada 193 kg.

Dan dari sudut kosmetik, tiga pilihan warna yang ditawarkan di pasaran Eropah adalah Team Yamaha Blue, Midnight Cyan dan Matte Raven Black.