YAMAHA MT-09 (2024) Generasi Baharu Tiba Di Malaysia, RM 58k, Ada 'Cruise Control'!
PELANCARAN
10/13/20242 min read


YAMAHA Motor Malaysia, hari ini mengumumkan kehadiran generasi terbaharu motosikal dalam segmen 'Naked' popularnya, Yamaha MT-09 (2024) di pasaran Malaysia dan dijual pada harga pengenalan asas RM 57,998.
Seperti biasa, hanya satu varian yang diperkenalkan di pasaran Malaysia dibawa masuk oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) tetapi yang menariknya, ia adalah varian tertinggi lengkap dengan pelbagai 'jajan' menarik.
Dan ia hadir dengan dua pilihan warna menarik iaitu Midnight Cyan dan Tech Black.
Sebagai model generasi terkini, pelbagai pembaharuan dibuat kepada Yamaha MT-09 (2024) terutama dari sudut rekaan serta penambahan pelbagai ciri menarik termasuk elektronik.
Dan mungkin antara yang menarik perhatian semestinya kehadiran teknologi Kawalan Jelajah atau 'Cruise Control'.
Diperkenalkan di pasaran global pada penghujung tahun lalu, dari sudut penampilan atau rekaan, Yamaha MT-09 (2024) kekal dengan tema 'garang' bagaikan watak 'predator' atau 'alien' namun ada yang menyatakan ia agak kurang 'ganas' berbanding generasi ketiga terutama bahagian lampu utama.
Tetapi selepas melihatnya secara berdepan, rekaan yang ditampilkan tampak yang mungkin lebih bersegi diakui kemas perlu dan menarik.
Selain itu, turut berubah adalah rekaan tangki bahan api dengan penambahan ciri 'Acoustic amplifier grilles', pelana dan bahagian lampu belakang yang tampak lebih moden.
Selain itu, turut mengalami kemas kini adalah di bahagian brek menerusi penggunaan 'Radial master cylinder' dari Brembo dan tuil klac kini boleh laras.
Bahagian panel meter turut dinaiktaraf dan memiliki ciri sambungan ke telefon bimbit menerusi Bluetooth dan aplikasi Yamaha MyRide. Selain itu, ia turut datang dengan ciri navigasi menggunakan aplikasi 'Garmin StreetCross' sama seperti Yamaha TMax.
Sebagai model yang memiliki teknologi IMU 6 paksi, ia membenarkan Yamaha MT-09 (2024) lima mod tunggangan (3 tetapan tersedia SPORT, STREET, RAIN) bersama Kawalan Traksi (3 tahap), Kawalan Gelincir, Kawalan Wheelie, Kawalan Brek selain teknologi 'Back Slip Regulator' yang mengawal tayar belakang agar ia tidak terkunci ketika membrek dengan kuat.
Sistem suspensi menggunakan fork jenis terbalik (USD) 41 mm KYB dengan ciri pelarasan penuh dan penyerap hentak tunggal belakang dengan sistem 'linkage' turut dikemaskini.
Antara pembaharuan lain termasuklah signal dengan ciri 'self-cancelling', bar hendal dan peg kaki boleh laras (dua posisi).
Mungkin ada yang menyatakan ia agak mengecewakan, seperti diketahui tiada perubahan membabitkan spesifikasi trenkuasa berlaku kepada Yamaha MT-09 (2024).
Justeru, ia kekal dengan padanan enjin CP3 bersesaran 890 cc, 3 Silinder Sebaris, 12 Injap, 4 Lejang, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.
Begitupun, enjin yang digunakan sudah mendapat piawaian emisi Euro 5+. Dan seperti versi terdahulu, ia turut dipadankan dengan klac 'Assist & Slipper' dan sistem 'Quickshifter' 'Up-down' generasi ketiga.
Kuasa yang dihasilkan juga kekal 119 PS pada 11,000 rpm dan tork 93 Nm pada 7,000 rpm.
Informasi lain adalah seperti ketinggian pelana 825 mm, kapasiti tangki bahan api 14 liter dan soket pengecas USB-C.
Begitupun dengan semua penambahbaikkan, Yamaha MT-09 (2024) kini mengalami penambahan berat sebanyak 4 kg berbanding model terdahulu kepada 193 kg.
Menurut Yamaha Motor Malaysia, Yamaha MT-09 (2024) akan mula tiba di cawangan pengedar Yamaha Big Bike bermula pada 15 Oktober ini.
















