YAMAHA MT-09 (2024) Mendarat Di Thailand, RM 50k, Malaysia Menyusul?

TERKINI

4/1/20242 min read

YAMAHA Motor Thailand memperkenalkan generasi terbaharu motosikal 'Naked' berprestasinya, Yamaha MT-09 (2024), model yang mengalami perubahan mengujakan membabitkan penampilan tahun lalu.

Dirasmikan di Bangkok International Auto Show (2024), dua varian Yamaha MT-09 (2024) dibawa masuk ke Thailand iaitu Standard dan SP dengan perincian membabitkan harga dan warna adalah seperti berikut.

  • Yamaha MT-09SP (2024): THB 489,000 (RM 63,534)

Pilihan Warna: Icon Performance

  • Yamaha MT-09 (2024): THB 447,000 (RM 58,077)

Pilihan warna: Tech Black, Icon Blue, Midnight Cyan

Mengulas perubahan dari sudut penampilan, antara paling ketara pastinya di bahagian depan dengan lampu LED depan tampil dengan rekaan lebih bersegi, tajam dan kurang 'alien' berbanding model sebelum ini.

Turut mengalami perubahan adalah rekaan tangki bahan api dengan penambahan ciri 'Acoustic amplifier grilles' selain pelana dan bahagian lampu belakang yang tampak lebih moden.

Selain penampilan atau rekaan baharu dengan ada yang mendakwanya sebagai kurang 'agresif', turut dikemas kini adalah di bahagian elektronik, komponen, perkakasan, piawaian emisi dan ergonomik.

Tiada perubahan membabitkan spesifikasi trenkuasa dengan Yamaha MT-09 (2024) kekal dengan enjin Crossplane CP3 bersesaran 890 cc, 3 Silinder Sebaris, 12 Injap, 4 Lejang, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Begitupun trenkuasa itu sudah mendapat piawaian emisi Euro 5+. Dan seperti versi terdahulu, ia turut dipadankan dengan klac 'Assist & Slipper' dan sistem 'Quickshifter' 'Up-down' generasi ketiga.

Kuasa yang dihasilkan juga kekal 119 PS pada 11,000 rpm dan tork 93 Nm pada 7,000 rpm.

Selain butang tetapan yang mengalami perubahan, antara yang menarik adalah Yamaha MT-09 (2024) kini memiliki teknologi Kawalan Jelajah (Cruise Control).

Bahagian panel meter turut dinaiktaraf dan memiliki ciri sambungan ke telefon bimbit menerusi Bluetooth dan aplikasi Yamaha MyRide.

Memiliki teknologi IMU 6 paksi, ia membenarkan Yamaha MT-09 (2024) lima mod tunggangan (3 tetapan tersedia), tiga tahap Kawalan Traksi, Kawalan Gelincir, Kawalan Wheelie, Kawalan Brek selain teknologi 'Back Slip Regulator' yang mengawal tayar belakang agak ia tidak terkunci ketika 'hard braking'.

Turut mengalami kemas kini adalah di bahagian brek menerusi penggunaan 'Radial master cylinder' dari Brembo dan tuil klac kini boleh laras.

Sistem suspensi menggunakan fork jenis terbalik (USD) 41 mm KYB dengan ciri pelarasan penuh dan penyerap hentak tunggal belakang dengan sistem 'linkage' turut dikemaskini.

Antara pembaharuan lain termasuklah signal dengan ciri 'self-cancelling', bar hendal dan peg kaki boleh laras (dua posisi).

Informasi lain adalah seperti ketinggian pelana 825 mm, kapasiti tangki bahan api 14 liter. Dan dengan semua perubahan, Yamaha MT-09 (2024) kini mengalami penambahan berat 4 kg kepada 193 kg.

Untuk varian SP, antara perbezaan adalah penggunaan fork berwarna emas, lengan ayun berwarna gangsa, kaliper brek Brembo, sistem suspensi dengan ciri pelarasan penuh, kunci pintar dengan pilihan warna Icon Performance mengikuti skema warna Yamaha R1M.

Berdasarkan maklumat, pihak Hong Leong Yamaha Motor juga tidak mahu menunggu lama untuk membawa masuk Yamaha MT-09 (2024) ke pasaran tempatan. Jadi, sama-sama kita nantikan.