YAMAHA MT-09 (2025) Dikemaskini, Harga Kekal RM 57.9k!
Selepas membuat debut di pasaran tempatan pada penghujung tahun lalu, Yamaha Motor Malaysia mengumumkan kemas kini 'kosmetik' untuk jagoannya dalam segmen 'Naked bike', Yamaha MT-09 bagi versi 2025
TERKINI
10/7/20252 min read


YAMAHA Motor Malaysia melancarkan jagoannya dalam segmen 'Naked bike', Yamaha MT-09 terbaharu di pasaran pada penghujung tahun lalu dan model berprestasi itu mendapat kemas kini terbaharu bagi versi 2025, hari ini.
Begitupun, kemas kini yang diumumkan hanya membabitkan 'kosmetik' iaitu pilihan warna dan corak grafik baharu.
Apa yang menarik, tiada perubahan dari sudut harga jualan asas iaitu RM 57,998 (tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran).
Dan pilihan warna baharu yang dikatakan menarik itu adalah Lightning Blue dan akan mula berada di cawangan pengedar sah Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) bermula 9 Oktober ini.
Pilihan warna Lightning Blue akan menggantikan pilihan warna Midnight Cyan dengan pilihan warna Tech Black akan terus dijual.
Seperti dikatakan lebih awal, tiada perubahan dari sudut rekaan mahukan spesifikasi trenkuasa terhadap versi terkini Yamaha MT-09 (2025) sekali pun di pasaran global, versi yang datang dengan sistem Y-AMT sudah pun keluar.
Di bahagian trenkuasa, Yamaha MT-09 dipadankan dengan enjin bersesaran 890 cc, 3 Silinder Sebaris, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api bersama transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap dengan klac 'Slipper'.
Kuasa yang dihamburkan adalah 119 PS pada 10,000 rpm dengan tork 93 Nm pada 7,000 rpm.
Untuk penukaran gear lebih lancar, ia turut dipadankan dengan generasi ketiga Yamaha 'Quickshifter'.
Panel instrumen menggunakan TFT-LCD bersaiz 5 inci yang menyokong sambungan Bluetooth ke telefon pintar penunggang melalui aplikasi Yamaha MyRide. Paparan ini turut menyokong navigasi peta penuh menerusi aplikasi Garmin StreetCross, yang berfungsi bersama alat pendengar dalam helmet.
Dari sudut elektronik, Yamaha MT-09 (2025) menawarkan tiga mod tunggangan (Sport, Street dan Rain) serta dua lagi mod yang boleh disesuaikan mengikut keperluan penunggang.
Ciri-ciri keselamatan standard termasuk Kawalan Cengkaman, ABS dua saluran, 'Slide control', 'Wheelie control', Kawalan brek dan sistem Back Slip Regulator (BSR) yang mengawal gelinciran roda belakang ketika membrek secara agresif dengan mengehadkan tork enjin.
Sistem suspensi menggunakan fork jenis terbalik (USD) berdiameter 41 mm yang boleh dilaras sepenuhnya (depan), manakala penyerap hentak tunggal belakang yang turut boleh dilaras dan dilengkapi dengan geometri pautan yang diperbaharui bagi memberikan tunggangan yang lebih lancar.
Sistem brek menggunakan cakera berkembar bersaiz 298 mm dengan angkup brek empat piston daripada Brembo (depan) dan brek cakera tunggal bersaiz 245 mm.
Seperti diketahui, untuk mengekstrak bunyi enjin 3 silinder, Yamaha juga memperkenalkal 'acoustic grilles' pada tangki bahan api yang bertujuan menyerlahkan frekuensi bunyi tinggi, khususnya ketika kelajuan tinggi.
Info lain adalah seperti:
Tinggi pelana 825 mm
Kapasiti tangki bahan api 14 liter
Berat basah 193 kg










