YAMAHA MT-09 Jadi Model Sulung Yamaha Guna Teknologi Y-AMT
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/31/20241 min read
YAMAHA mengesahkan motosikal 'Naked' popularnya, Yamaha MT-09 akan menjadi model pertama jenama itu yang dipadankan dengan sistem transmisi baharu Y-AMT atau Yamaha Automated Manual Transmission.
Kepada yang tak tahu, Yamaha memperkenalkan teknologi Y-AMT pada bulan lalu yang menyaksikan syarikat pengeluar Jepun itu pemain terbaharu menggunakan sistem berkenaan ke atas model keluarannya.
Sebelum pergi terlalu jauh dan untuk pemahaman mudah, teknologi Y-AMT bukanlah semudah seperti transmisi automatik yang lazimnya digunakan kepada model skuter.
Tetapi ia boleh dikatakan cukup mirip dengan sistem transmisi yang digunakan oleh satu lagi pengeluar Jepun iaitu Honda kepada beberapa modelnya termasuk Honda X-ADV 750.
Secara keseluruhan, Y-AMT datang dengan dua tetapan iaitu Automatic Transmission (AT) dan Manual Transmission (MT).
Untuk tetapan AT, seperti dapat dijangka ia adalah pilihan automatik penuh dengan operasi mirip seperti skuter. Begitupun, Yamaha turut memberikan dua mod pilihan iaitu 'D' dan 'D+' dengan mod 'D+' menawarkan tunggangan lebih 'sporty'.
Manakala untuk MT, ia masih membenarkan penggunanya melakukan penukaran gear secara manual namun operasi itu tidak lagi dilakukan dibuat menerusi pedal di kaki kiri, namun menerusi suis di bahagian kiri bar hendal yang mirip 'Paddleshift'.
Apa yang menarik menurut Yamaha, penggunaan suis itu lebih cekap berbanding ciri 'Quickshifter'.
Selain 'hilang' sensasi menukar gear menggunakan pedal kaki, turut 'hilang' adalah tuil klac.
Tetapi apa yang lebih melegakan, pengguna masih memiliki sensasi untuk memulas terotel dan menikmati bunyi enjin tiga silinder dengan meletakkan gear dalam keadaan 'neutral'.
Jika melihat dari sudut penampilan, tiada perubahan dari sudut rekaan dibuat manakala di bahagian trenkuasa, ia masih dipadankan dengan enjin CP3 889 cc, 3 Silinder Sebaris bersama transmisi 6 kelajuan.
Kuasa yang dihamburkan juga kekal iaitu 119 Hp pada 10,000 rpm dan tork 93 Nm pada 7,000 rpm.
Sebagai info, Yamaha pernah memperkenalkan model yang dipadankan dengan sistem penukaran gear menerusi suis pada pada 2006 (Yamaha Fjr1300AE) menerusi teknologi Yamaha Chip Controlled Shift (YCC-S).
Menurut informasi yang diperoleh, Yamaha MT-09 yang menggunakan teknologi Y-AMT akan dilancar di Jepun pada penghujung tahun 2024.
Di pasaran tempatan, versi terbaharu Yamaha MT-09 masih belum tiba namun menurut jangkaan, ia mungkin akan berlaku tidak lama lagi. Sama-sama kita nantikan.