YAMAHA MT-09 Y-AMT Tiba Di Thailand, Harga RM 57k!
TERKINI
8/28/20241 min read
YAMAHA membuat debut global pertamanya yang menggunakan sistem transmisi Y-AMT (Yamaha Automated Manual Transmission) menerusi model 'Naked' Yamaha MT-09 bulan lalu dan tak perlu menunggu lama, ia sudah pun tiba di Thailand.
Sebelum pergi lebih jauh dan sebagai info, Yamaha MT-09 di pasaran Thailand adalah model dengan rekaan terbaharu berbanding rekaan lampu depan 'alien' seperti yang ketika ini dijual di Malaysia.
Dan untuk Yamaha MT-09 Y-AMT (2024), ia adalah model dengan rekaan terbaharu dan sama namun menggunakan sistem transmisi berbeza.
Begitupun, kehadiran Yamaha M-09 Y-AMT tidak membuatkan versi bukan Y-AMT disingkirkan daripada katalog Yamaha Motor Thailand.
Secara keseluruhan, hanya satu varian Yamaha MT-09 Y-AMT ditawarkan bersama tiga pilihan warna iaitu:
Tech Black
Midnight Cyan
Icon Blue
Harga yang diperkenalkan pula adalah 519,000 baht (RM 66,151).
Berdasarkan katalog Yamaha Motor Thailand, harga yang diumumkan untuk Yamaha MT-09 Y-AMT adalah lebih tinggi berbanding versi teratas MT-09 iaitu SP yang lengkap dengan pelbagai 'jajan' seperti Quickshifter, suspensi Ohlins dan kaliper brek Brembo.
Sebagai info, harga jualan untuk Yamaha MT-09 SP adalah 489,000 baht (RM 62,328).
Mengulas ringkas, sistem transmisi Y-AMT datang dengan dua tetapan iaitu Automatic Transmission (AT) dan Manual Transmission (MT). Sistem itu turut 'menghilangkan' dua ciri iaitu tuil klac dan pedal menukaran gear di kaki.
Tetapi sedikit melegakan, pembeli masih memiliki sensasi untuk memulas terotel dan menikmati bunyi enjin tiga silinder CP3 Yamaha dengan meletakkan gear dalam posisi 'neutral'.
Dan enjin CP3 889 cc, 3 Silinder Sebaris bersama transmisi 6 kelajuan mampu menghamburkan kuasa setinggi 119 Hp pada 10,000 rpm dan tork 93 Nm pada 7,000 rpm.
Di pasaran Malaysia, pihak Yamaha Motor Malaysia masih belum membawa masuk versi terkini Yamaha MT-09 dan masih mengekalkan versi yang diperkenalkan pada 2022 dalam katalognya bersama harga jualan asas RM 54,998.
Setakat ini, tiada sebarang informasi mengenai Yamaha MT-09 Y-AMT di pasaran tempatan tetapi apa yang boleh dijangkakan, ia hampir pasti tidak akan diperkenalkan pada tahun ini.