YAMAHA Mula 'Goyang', Akui Duit Tak Cukup Nak Kekal 'Abam' Taro

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/5/20231 min read

MARC Marquez sudah membuktikan kepada Repsol Honda yang 'duit berkepuk' bukan jaminan seseorang pelumba akan kekal bersama pasukan dan situasi itu turut mencetus bimbang Yamaha.

Seperti Honda, Yamaha ketika ini turut bergelut dalam kempen MotoGP dan pelumba terbaiknya, Fabio Quartararo sekadar mengisi kedudukan ke-9 keseluruhan tanpa sebarang kemenangan.

Dengan hampir kesemua pelumba di grid MotoGP menandatangani kontrak sehingga 2024, ada peluang yang pengeluar Jepun itu kehilangan pelumba yang menjulang gelaran dunia pada 2021 itu pada musim 2025.

"Saya bimbang mengenai apa yang akan terjadi pada 2025," kata Pengarah Pasukan Yamaha, Massimo Meregalli kepada GPOne.

"Dalam kes berkenaan, kami perlu menyakinkan dia (Quartararo) dengan prestasi jentera dan bukannya membabitkan aspek kewangan."

Ditanya mengenai potensi 'kejutan' pada musim depan, Meregalli menegaskan dia tidak nampak yang pelumba bintang Perancis itu akan melanggar kontraknya.

"Apa saja boleh berlaku, tetapi kami tidak memiliki kebimbangan ini," katanya.

Salah satu daripada pelan kebangkitan Yamaha adalah untuk kembali mendapatkan pasukan satelit Yamaha dengan pengeluar itu ketika ini hanya memiliki dua jentera di grid MotoGP.

"Bagi Yamaha, amat penting untuk kami mendapatkannya dan kami akan melakukan apa saja untuk musim 2025," kata Meregalli.

"Fakta untuk hanya memiliki dua pelumba menjadi sulit kerana kamu mendapati diri kamu hanya memiliki data yang sedikit," katanya.

Setakat ini, pasukan milik legenda MotoGP Valentino Rossi, VR46 antara pilihan untuk menjadi pasukan satelit Yamaha dengan pasukan itu memiliki kontrak bersama Ducati bagi musim 2024. Anehnya, Rossi ketika ini adalah duta kepada Yamaha.