YAMAHA Mula Uji Enjin V4 Di Sepang?
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
12/18/20241 min read


YAMAHA dikatakan sudah bersedia untuk menjalankan ujian terhadap enjin baharu MotoGP berkonfigurasi V4 di litar tetapi tetapi program yang sepatutnya berjalan di Jerez, Sepanyol minggu lalu tertangguh.
Perkara itu didedahkan pelumbanya, Alex Rins dalam satu 'podcast' di Sepanyol tetapi ia tidak menjadi kenyataan berikutan unit yang ingin diuji masih belum bersedia.
"Ideanya adalah untuk mengadakan ujian ketika ujian KTM di Jerez tetapi pada akhirnya, ia tidak bersedia dan tidak boleh diuji," kata Rins.
Tetapi perkembangan terbaharu memetik laporan Motorsports, pengeluar Jepun itu dikhabarkan akan melakukan ujian persendirian di Sepang bulan ini untuk menguji enjin itu di litar bersama Andrea Dovizioso.
Sekalipun nampak logik, informasi itu masih berstatus khabar angin dengan Yamaha juga sudah menyatakan yang mereka tidak merancang untuk melakukan sebarang ujian pada tahun ini.
Justeru, mereka berkemungkinan akan mula membuat ujian debut terhadap enjin berkenaan pada Januari depan yang membabitkan pelumba ujiannya di Sepang ketika ujian 'shake down' pada 31 Januari hingga 2 Februari.
Seperti diketahui, Yamaha ketika ini menjadi satu-satunya pengeluar yang masih menggunakan enjin 4 Silinder Sebaris di MotoGP dengan pencabar lain menggunakan enjin V4.
Selepas menjulang gelaran dunia pada 2021, Yamaha mengalami penurunan prestasi mendadak sehingga diberikan konsesi oleh pengelola perlumbaan.
Untuk mempercepatkan kebangkitan, Yamaha menambah jurutera malah turut menyambar pakar yang sebelum ini berkhidmat bersama Ducati selain turut menggaji konsultan F1, Luca Marmorini dan pernah bekerja bersama Aprilia.
Begitupun Yamaha sebelum ini menyatakan yang enjin berkenaan tidak akan bersedia sehingga sekurang-kurangnya pertengahan musim 2025.
Selain Rins dan Fabio Quartararo, Yamaha akan dikuatkan dengan dua pelumba pasukan satelit, Pramac Yamaha menerusi Miguel Oliveira dan Jack Miller musim ini.
Pengeluar itu baru-baru ini turut mengesahkan juara dunia Moto2 2022, Augusto Fernandez menyertai mereka sebagai pelumba ujian.
