YAMAHA NMax ABS (2025) Lancar Di Malaysia, RM 11.5k!
PELANCARAN
1/12/20251 min read


YAMAHA Motor Malaysia seperti dijangka melancarkan penawaran terbaharunya dalam segmen skuter, Yamaha NMax ABS (2025) yang juga generasi ketiga model berkenaan di pasaran tempatan, hari ini.
Sebagai model generasi terbaharu atau lebih tepat ketiga, ia tampil dengan beberapa pembaharuan khususnya membabitkan rekaan dan ciri-ciri yang boleh dianggap menarik.
Diumumkan pada harga RM 11,498 (asas), hanya satu varian ditawarkan di pasaran tempatan.
Pilihan warna yang ditawarkan adalah dua iaitu:
Magma Black
Sky Blue
Sebelum pergi lebih jauh dan mungkin agak mengecewakan, ia bukanlah model yang dipadankan dengan teknologi 'Turbo' seperti negara jiran Indonesia.
Begitupun, pembaharuan yang dilakukan masih dikatakan menarik antaranya seperti ia kini lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran, Sistem Kawalan Traksi (TCS).
Ciri-ciri terbaharu yang turut dipadankan adalah seperti pengenalan sistem sambungan ke telefon pintar Y-Connect, port pengeceas type-C dan sistem kunci pintar.
Di bahagian trenkuasa, Yamaha NMax ABS (2025) dipadankan dengan enjin bersesaran 155 cc, 1 Silinder, 4 Injap, 4 Lejang, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair, SOHC+ bersama transmisi automatik CVT.
Kuasa yang dihamburkan adalah sebesar 15.1 Hp pada 8,000 rpm dan tork 14.2 Nm pada 6,000 rpm.
Dari sudut rekaan, Yamaha NMax ABS (2025) serba baharu tampil dengan penggayaan lebih mewah serba baharu terutama rekaan lampu depan dan belakang.
Tetapi perlu diakui yang kedudukan lampu 'high beam' yang diposisikan di bahagian tengah dan diapit lampu siang nampak sedikit pelik.
Dan sebagai skuter moden, sistem lampu LED penuh namun panel meter yang digunakan masih digital LCD.
Kepada yang tidak mengetahui mengenai YECVT (Yamaha Electric Continuously Variable Transmission), secara ringkasnya ia adalah teknologi terbaharu dibawa oleh Yamaha terhadap sistem transmisi.
Teknologi YECVT dikatakan berbeza daripada sistem CVT biasa dan didakwa memberikan rasa sensasi ala 'Turbo' ketika memecut. Dan tanpa YECVT, Yamaha NMax ABS (2025) juga tidak mempunyai mod tunggangan atau tombol untuk mengaktifkan YECVT iaitu 'Y-Shift'.
Kepada yang berminat, HLYM berkata Yamaha NMax ABS (2025) akan mula berada di pasaran pada 15 Januari ini.
Seperti biasa, tawaran jaminan pengeluar adalah dua tahun atau jarak perbatuan 20,000 km (yang mana tiba dahulu).
















