YAMAHA NMax ABS (2026) Dapat Warna Baharu, Harga Kekal RM 11,498!
Tiada sistem 'turbo' tetapi Yamaha NMax ABS (2026) kini lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran, Sistem Kawalan Traksi (TCS), sistem sambungan ke telefon pintar Y-Connect, port pengeceas type-C dan sistem kunci pintar
TERKINI
1/26/20261 min read


YAMAHA Motor Malaysia, selepas setahun pengenalan Yamaha NMax ABS di pasaran tempatan, hari ini mengumumkan kemas kini untuk skuter berkenaan bagi versi 2026 menerusi dua dua pilihan warna baharu - Icon Blue dan Crystal Graphite.
Apa yang menarik, kemas kini itu tidak membuatkan harga jualan skuter berkenaan berubah dan kekal pada angka RM 11,498 (tidak termasuk yuran pendaftaran dan insurans).
Seperti dinyatakan, tiada perubahan dari sudut rekaan mahupun trenkuasa dan seperti diketahui, Yamaha NMax ABS adalah generasi ketiga model popular berkenaan yang tampil dengan penggayaan lebih mewah serba baharu terutama rekaan lampu depan dan belakang.
Tetapi tidak seperti beberapa pasaran di negara jiran, Yamaha NMax ABS di Malaysia tidak dilengkapi sistem ala 'turbo'.
Begitupun, ia kini lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran, Sistem Kawalan Traksi (TCS), sistem sambungan ke telefon pintar Y-Connect, port pengeceas type-C dan sistem kunci pintar.
Di bahagian trenkuasa, Yamaha NMax ABS (2026) dipadankan dengan enjin bersesaran 155 cc, 1 Silinder, 4 Injap, 4 Lejang, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair, SOHC+ bersama transmisi automatik CVT.
Kuasa yang dihamburkan adalah sebesar 15.1 Hp pada 8,000 rpm dan tork 14.2 Nm pada 6,000 rpm.
Seperti biasa, tawaran jaminan pengeluar adalah dua tahun atau jarak perbatuan 20,000 km (yang mana tiba dahulu). Dan ketersediaan pilihan warna baharu itu bermula pada hari ini di semua cawangan pengedar saha Hong Leong Yamaha Motor.









