YAMAHA NMax 'Manga' Curi Tumpuan Di Motegi, Jadi Skuter Paddock Yamaha MotoGP

Menurut Yamaha, corak grafik Yamaha NMax Manga yang akan digunakan pasukan Yamaha MotoGP di GP Jepun dihasilkan oleh barisan pereka mudanya di bawah bahagian Reka Bentuk Produk Yamaha Motor Jepun

TERKINI

9/26/20261 min read

YAMAHA Motor Co. Ltd. tampil dengan satu kejutan di kawasan 'paddock' apabila mendedahkan skuter Yamaha NMax dengan tema Manga Jepun yang akan dijadikan sebagai skuter paddock rasmi pasukan Yamaha MotoGP sempena Grand Prix (GP) Jepun 2026, minggu depan.

Tiada perubahan daripada sudut rekaan atau trenkuasa, tetapi apa yang unik untuk penampilan Yamaha NMax Manga Japan adalah ia disuntik kelainan dan dibalut corak grafik bertemakan komik Jepun atau 'Manga' yang tampil cukup ranggi dan futuristik.

Di sebalik rekaan grafik itu, menurut Yamaha ia dihasilkan secara langsung oleh barisan pereka muda di bawah Bahagian Reka Bentuk Produk Yamaha Motor.

Inisiatif ini menjadi sebahagian daripada program pembangunan sumber manusia syarikat itu, yang bertujuan memberikan ruang kreatif serta pentas global kepada bakat muda untuk menguji ekspresi seni rekaan mereka dalam acara berprestij seperti MotoGP.

Pemilihan tema Manga juga dibuat berasaskan nilai budaya pop Jepun yang ikonik dan sudah pun diiktiraf di seluruh dunia.

Menerusi gabungan model skuter global seperti NMAX dan visual seni komik Jepun, Yamaha menyasarkan untuk menarik perhatian peminat MotoGP dari pelbagai pelosok negara, selain merancakkan interaksi peminat di platform media sosial.

Slain skuter, Yamaha turut menawarkan pelbagai cenderamata rasmi edisi terhad GP Jepun di tapak promosi Yamaha Fan Booth di pekarangan litar Motegi.

Lebih menarik, pengunjung yang berbelanja minimum 5,000 Yen (sekitar RM 145) di ruang pameran itu layak menerima Kad Koleksi (Trading Card) Asli Yamaha MotoGP secara rawak, yang merangkumi 14 varian rekaan berserta satu kad rahsia eksklusif.