YAMAHA NMax Turbo (2024) Debut global Di Indonesia, Lebih Futuristik, Harga Mula 9.5k!

TERKINI

6/12/20242 min read

YAMAHA Motor Indonesia, hari ini melancarkan generasi terbaharu atau ketiga skuter maxi Yamaha NMax Turbo (2024) yang tampil dengan pembaharuan membabitkan rekaan, ciri-ciri dan trenkuasa.

Dan seperti boleh dijangka, pelancaran model dengan nama NMax yang turut popular di Malaysia ini di negara seberang adalah yang pertama di pasaran global.

Menurut Yamaha Motor Indonesia, pelancaran Yamaha NMax Turbo (2024) dibuat bersempena ulang tahun ke-50 jenama Jepun itu di pasaran negara berkenaan.

Didakwa tampil dengan rekaan yang semakin mewah dan premium, secara keseluruhan, lima varian Yamaha NMax generasi terbaharu diperkenalkan di pasaran Indonesia iaitu:

  • Yamaha NMax Neo (2024) - Rp 32.7 juta (RM 9,520)

  • Yamaha NMax Neo S Version (2024) - Rp 33.7 juta (RM 9,811)

  • Yamaha NMax Turbo (2024) - Rp 37.750 juta (RM 10,973)

  • Yamaha NMax Turbo Techmax (2024) - Rp 43.250 juta (RM 12,572)

  • Yamaha NMax Turbo Techmax Ultimate (2024) - Rp 45.250 juta (RM 13,153)

Di bahagian trenkuasa, Yamaha NMax Turbo (2024) dipadankan dengan enjin bersesaran 155 cc, 1 Silinder, 4 Injap, 4 Lejang, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair, SOHC+ bersama transmisi automatik dengan teknologi terbaharu YECVT (Yamaha Electric Continuously Variable Transmission).

Teknologi YECVT dikatakan berbeza daripada sistem CVT biasa dan didakwa memberikan rasa sensasi ala 'Turbo' ketika memecut.

Begitupun bagi model Yamaha NMax Neo (2024), ia tidak dipadankan dengan teknologi berkenaan.

Dari sudut kuasa, angka yang terhasil adalah sama iaitu 15.1 Hp pada 8,000 rpm dan tork 14.2 Nm pada 6,500 rpm.

Untuk Yamaha NMax Turbo, ia tampil dengan pilihan 2 mod tunggangan iaitu T-Mode (Town Commuting) dan S-Mode (Sport Touring) dan ia boleh diakses menerusi suis yang diposisikan di bahagian kiri bar hendal.

Selain itu, tombol untuk mengaktifkan YECVT iaitu 'Y-Shift' turut diposisikan di bahagian sama. Secara keseluruhan, ada tiga mod tersedia untuk YECVT iaitu Low (1), Medium (2) dan High (3).

Menurut Yamaha, selain daripada meningkatkan kelajuan, ia juga boleh digunakan ketika menuruni bukit atau mengambil selekoh.

Dengan rekaan serba baharu yang tampak lebih mewah, turut baharu adalah rekaan lampu depan dan belakang. Tetapi kedudukan lampu 'high beam' yang diposisikan di bahagian tengah dan diapit lampu siang diakui sedikit pelik.

Dan sebagai skuter moden, sistem lampu LED penuh namun panel meter yang digunakan masih digital LCD.

Selain itu, perbezaan lain antara model Turbo dan Neo adalah penggunaan minyak enjin 1 liter untuk Yamaha NMax Turbo dan 0.9 liter untuk varian Neo.

Tidak diketahui bila Yamaha NMax Turbo akan diperkenalkan di pasaran Malaysia namun melihat kepada popularitinya di negara ini, ia berkemungkinan tidak begitu lama.