YAMAHA NMax Turbo Dilihat Jalani Ujian Di Malaysia, Penantian Tak Lama?

TULAR

6/25/20242 min read

YAMAHA NMax Turbo (2024) generasi terbaharu membuat kemunculan globalnya di negara jiran, Indonesia, awal bulan ini dan nampaknya, penantian peminat skuter berkenaan di Malaysia berkemungkinan tak lama.

Sebagai model generasi terbaharu, Yamaha NMax Turbo (2024) seperti dijelaskan dalam pelbagai portal termasuk MotoDotMy.com tampil dengan pelbagai pembaharuan yang membabitkan rekaan, ciri-ciri dan trenkuasa.

Seperti model-model terbaharu lain, sebelum dirasmikan, ia akan menjalani pelbagai ujian termasuk di jalan raya.

Tetapi apa yang menarik dan mungkin baharu, selain di Indonesia, ujian berkenaan turut didakwa berlangsung di Malaysia malah imejnya sedang diuji berjaya diambil dan tular di media sosial.

Tidak diketahui kesahihan dakwaan berkenaan tetapi berdasarkan laporan media di seberang (sebelum pelancaran) dan gambar yang tular, lokasi ujian itu dijalankan adalah di Malaysia.

Ia adalah berdasarkan imej lokasi, keadaan jalan raya serta plat nombor ujian yang digunakan.

Dan berdasarkan rekaan, unit yang diuji itu sememangnya generasi terbaharu Yamaha NMax.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi daripada pihak Yamaha Motor Malaysia tetapi andai benar, ia bermakna pelancaran Yamaha NMax Turbo berkemungkinan besar tidak akan mengambil masa lama.

Tampil dengan rekaan yang semakin mewah dan premium, secara keseluruhan, lima varian Yamaha NMax generasi terbaharu diperkenalkan di pasaran Indonesia namun seperti biasa, hanya satu varian dijangka tiba di pasaran tempatan.

Ini kerana tidak seperti 'abangnya' Yamaha XMax atau skuter bergaya 'Sporty' Yamaha NVX, penawaran Yamaha NMax di Malaysia tidak begitu 'meriah'.

Di pasaran, Yamaha NMax (generasi terkini) yang ditawarkan oleh pihak Hong Leong Yamaha Motor adalah varian rendah yang tidak memiliki ciri-ciri seperti ABS, Kawalan Traksi, Sistem Kunci Pintar dan ciri sambungan telefon bimbit.

Dari sudut harga, varian paling rendah Yamaha NMax Turbo (2024) dijual pada harga Rp 37.750 juta (RM 10,973) manakala paling tinggi - Yamaha NMax Turbo Techmax Ultimate (2024) diberikan tanda harga Rp 45.250 juta (RM 13,153) di Indonesia.

Mengulas ringkas trenkuasa, Yamaha NMax Turbo (2024) dipadankan dengan enjin bersesaran 155 cc, 1 Silinder, 4 Injap, 4 Lejang, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair, SOHC+ bersama transmisi automatik dengan teknologi terbaharu YECVT (Yamaha Electric Continuously Variable Transmission).

Teknologi YECVT dikatakan berbeza daripada sistem CVT biasa dan didakwa memberikan rasa sensasi ala 'Turbo' ketika memecut.

Dari sudut kuasa, angka yang terhasil adalah 15.1 Hp pada 8,000 rpm dan tork 14.2 Nm pada 6,500 rpm.

Istimewa untuk Yamaha NMax Turbo, ia tampil dengan pilihan 2 mod tunggangan iaitu T-Mode (Town Commuting) dan S-Mode (Sport Touring) dan ia boleh diakses menerusi suis yang diposisikan di bahagian kiri bar hendal.

Selain itu, tombol untuk mengaktifkan YECVT iaitu 'Y-Shift' turut diposisikan di bahagian sama. Secara keseluruhan, ada tiga mod tersedia untuk YECVT iaitu Low (1), Medium (2) dan High (3).

Menurut Yamaha, selain daripada meningkatkan kelajuan, ia juga boleh digunakan ketika menuruni bukit atau mengambil selekoh.