YAMAHA NVX (2024) Kini Di Malaysia, 4 Warna Baharu, Harga Mula RM 9.9k!

TERKINI

4/24/20241 min read

YAMAHA Motor Malaysia, hari ini mengemaskini penawaran popularnya dalam segmen skuter, Yamaha NVX (2024) yang kini hadir dengan empat pilihan warna baharu yang didakwa lebih menarik.

Ditawarkan dalam dua varian iaitu Standard dan ABS, kemas kini yang dijalankan hanya membabitkan 'kosmetik iaitu pilihan warna baharu untuk kedua-dua varian yang ditawarkan Standard dan ABS selain harga.

Bagi Yamaha NVX (2024) Standard, pilihan warna baharu yang tersedia adalah adalah Blue & Bronze manakala untuk varian ABS, warna baharu yang diperkenalkan adalah Cyan sky & Premium Navy.

Untuk harga, angka yang diumumkan untuk Yamaha NVX (2024) Standard adalah RM 9,998 (asas) manakala untuk varian ABS, angkanya adalah RM 11,698.

Seperti biasa, harga yang diumumkan itu adalah yang disyorkan oleh pengeluar dan tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran ataupun apabila ia sudah berada di kedai.

Mengulas ringkas spesifikasi trenkuasa, Yamaha NVX (2024) dijana enjin VVA bersesaran 155 cc, 1 Silinder, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, SOHC yang digandingkan dengan transmisi automatik.

Kuasa yang dijana adalah 15.1 Hp pada 8,000 rpm dan tork 13.9 Nm pada 6,500 rpm.

Sebagai perbezaan, varian ABS dipadankan dengan suspensi belakang yang lengkap dengan 'Sub-tank', Kunci Pintar dan Sistem 'Stop Start' yang didakwa Yamaha memberikan penjimatan bahan api lebih baik.

Lebih menarik untuk pilihan warna Premium Navy, rim dan pelana turut dipadankan dengan warna Coklat yang tampak menambahkan lagi 'kehenseman' skuter berkenaan.

Seperti biasa, setiap pembelian turut akan menerima kunci cakera eksklusif Yamaha bernilai RM 100.

Kepada yang berminat, Yamaha NVX (2024) akan tersedia di semua cawangan pengedar sah Yamaha seluruh negara bermula hari ini.