YAMAHA Perlu Ada Pasukan Satelit Guna Jentera 'Factory' Di MotoGP - Fabio Quartararo
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/9/20241 min read
YAMAHA setakat ini masih belum memiliki pasukan berstatus 'satelit' dalam kempen MotoGP dan perkara itu jelas mencetus kebimbangan pelumba bintangnya, Fabio Quartararo.
Disebalik pelbagai khabar angin dan tampak berusaha dengan bersungguh-sungguh, pengeluar Jepun itu masih belum dapat mengesahkan situasi membabitkan perkara berkenaan.
Dan sejak kehilangan pasukan satelit RNF Racing pada penghujung musim 2022, Yamaha menjadi satu-satunya pengeluar yang memiliki hanya dua jentera di grid MotoGP sejak musim lalu.
Justeru bagi Quartararo yang juga juara dunia MotoGP 2021, Yamaha tidak lagi mampu untuk mengharapkan dua jentera untuk bersaing dan tegasnya, pasukan satelit juga perlu diberikan jentera berstatus 'Factory'.
"Kami, Yamaha dan diri saya, bekerja dengan amat keras untuk mendapatkan pasukan satelit. Ia amat penting," kata Quartararo.
"Malah jika kamu menilai berapa banyak pusingan yang kami boleh lakukan ketika pra-musim. Jumlahnya jika dibandingkan dengan Ducati (8 Jentera) adalah amat berbeza.
"Kamu boleh menguji lebih banyak benda dan mempunyai komen yang lebih banyak daripada pelumba yang lebih ramai.
"Saya langsung tidak menyebut 'Pasukan satelit' kerana bagi saya ia perlulah lanjutan daripada pasukan utama. Mereka perlu mendapatkan jentera 'factory', sokongan 'factory' dan saya fikir ia juga penting kepada pelumba.
"Pada akhirnya, orang yang berada di atas jentera sama adalah pesaing kamu, tetapi jika kamu memiliki lebih (berbanding satu), jadi ia memberikan kamu lebih motivasi dan kamu boleh mempelajari lebih daripada satu sama lain."
Ketika ini, Ducati menyenaraikan jentera paling banyak di grid MotoGP iaitu 8 (4 jentera 'Factory') diikuti 4 oleh Aprilia, KTM, Honda dan Yamaha (2).
Semasa bergelar pasukan satelit Yamaha, RNF Racing dan Petronas Yamaha SRT hanya diperuntukkan satu jentera bersatus 'Factory'.
Sebagai info, setiap pasukan bukan berstatus pengeluar bebas untuk mendapatkan perjanjian dengan mana-mana pengeluar yang menyaksikan lima pasukan - Pramac, VR46 dan Gresini memilih Ducati, Trackhouse memilih Aprilia dan Tech3 menjalin kerjasama dengan KTM.