'YAMAHA Perlu Realistik'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/21/20251 min read


YAMAHA perlu realistik dengan merapatkan jurang dengan dua pengeluar, Aprilia dan KTM sebelum cuba untuk 'mengejar' pasukan yang dianggap 'pendahulu' di MotoGP, Ducati, kata Prinsipal Monster Yamaha, Paolo Pavesio.
Dan untuk melakukannya, pengeluar gergasi Jepun yang mendapat 'kelebihan' konsesi itu perlu mendapatkan peningkatan yang berterusan ketika sesi kelayakan dan perlumbaan.
Yamaha pada musim lalu bukan saja tidak berjaya mendapatkan sebarang kemenangan, malah podium dengan pelumba terbaiknya, Fabio Quartararo menamatkan saingan di kedudukan ke-13 keseluruhan.
"Pertama sekali, kami perlu cuba merapatkan jurang dengan KTM dan Aprilia. Kerana jika kamu mahu mengejar pendahulu (Ducati), kamu perlu meraih posisi itu satu demi satu," kata Pavesio kepada Crash.net.
"Apabila kami melihat kehadiran kami di Q2 (Kelayakan 2) menjadi standard, ia adalah langkah pertama. Dan kemudian kamu mula bersaing bukan saja untuk kedudukan 7-8, tetapi mungkin 5.
"Dan kemudian langkah seterusnya adalah mungkin kita boleh melihat Yamaha di podium. Tetapi kami perlu realistik, dan kami juga perlu mencabar diri kami dan kami berada di sini untuk mencabar diri kami.
"Kami perlu merapatkan jurang. Ada pengeluar ketika ini yang jelas melakukan kerja yang lebih baik berbanding orang lain. Mereka akan kurang dua jentera di grid pada tahun ini. Kami menambah dua lagi jentera.
"Dan kemudian ada dua lagi pencabar daripada jenama lain (Aprilia dan KTM) tahun lalu. Dan dua lagi, daripada Timur (Yamaha dan Honda) yang sedang cuba untuk mengejar."
Sebagai pasukan yang mendapat 'konsesi', Yamaha tidak dihalang daripada membangunkan enjin seperti diharungi Ducati namun Pavesio berkata kerja yang dilakukan perlu berterusan.
"Kami terbuka kepada kesemua pelumba kami, mereka tahu mengenai pelan pembangunan dan mereka melihat banyak perkara yang mereka perlu uji. Kerana tiada magis di sini."
Yamaha dan Honda ketika ini berada di kelas D dalam konsesi MotoGP dengan Ducati berada di kelas A manakala KTM dan Aprilia beraada dalam kelas C.
