YAMAHA PG-1 (2024) Lancar Di Malaysia, Kapcai Gaya 'ADV', Asas RM 6,998!

PELANCARAN

8/24/20241 min read

YAMAHA Motor Malaysia membuat kejutan sempena Karvinal GenBlu Yamaha 2024 yang berlangsung di Johor, hari ini dengan melancarkan model kapcai bergaya 'ADV' retro Yamaha PG-1 (2024).

Diposisi dalam segmen gaya hidup, Yamaha PG-1 (2024) seperti diketahui membuat debutnya di negara jiran, Thailand pada penghujung tahun lalu dan dikatakan menjadi antara model cukup laris ketika ini.

Sebelum pergi lebih jauh, harga yang diumumkan oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) untuk Yamaha PG-1 (2024) pasaran tempatan adalah RM 6,998 (asas), tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Dua pilihan warna ditawarkan iaitu:

  • Casual Beige

  • Forest Green

Sebagai model yang dikatakan boleh dibawa mengharungi laluan lasak, Yamaha PG-1 (2024) dibekalkan dengan sistem suspensi istimewa menerusi fork teleskopik dengan jarak 'travel' 130 mm yang lengkap dengan pelindung dan penyerap hentak kembar dengan jarak 'travel' 109 mm.

Dan seperti motosikal 'ADV' lain, Yamaha PG-1 (2024) memiliki jarak lega bumi yang tinggi 190 mm, posisi ekzos yang tinggi dan bar hendal tinggi serta lebar.

Untuk meningkatkan penampilannya sebagai motosikal 'scrambler retro', Yamaha PG-1 (2024) turut dipadankan dengan panel meter berbentuk bulat dan pelana jenis terpisah untuk penunggang dan pembonceng.

Mengulas trenkuasa, Yamaha PG-1 (2024) dipadankan dengan enjin bersesaran 114 cc, 1 Silinder, 2 Injap, 4 Lejang, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Udara, SOHC yang digandingkan dengan transmisi 4 kelajuan.

Kuasa yang dihamburkan adalah 9 PS pada 7,000 rpm dan tork 9.5 Nm pada 5,500 rpm.

Sistem brek pula menggunakan brek cakera tunggal (depan) dan dram (belakang) dengan set roda 90/100-16 (depan) dan 90/100-16 (belakang) dengan rim jenis 'spoke' atau jejari.

Informasi lain untuk Yamaha PG-1 (2024) di pasaran Malaysia adalah kapasiti tangki bahan api 5.1 liter, panel meter jenis analog berbentuk bulat dan berat 107 kg.

Apa yang menarik, HLYM turut menawarkan pakej aksesori iaitu Pek Kembara daripada Givi dan Pek Ekspedisi yang ditawarkan bersama harga istimewa bersempena Karnival GenBlu dan unit terhad.

Selain bergaya ADV, pihak HLYM turut menayangkan empat model Yamaha PG-1 (2024) yang sudah siap dimodifikasi bersama gaya berbeza iaitu Perintis Gaya (Fun), Retro Manik (Cafe Racer), Wira Kembara (Lasak) dan Penjelajah Bandar (Scrambler) yang menarik.