YAMAHA PG-1 (2024) Tiba Di Pengedar HLYM Hujung September

TERKINI

9/13/20241 min read

YAMAHA Motor Malaysia melancarkan model terbaharunya di pasaran tempatan, Yamaha PG-1 (2024) bulan lalu sempena Karnival GenBlu Yamaha 2024 di Johor dan perkembangan terbaharu, kapcai 'unik' itu dimaklumkan akan tiba di cawangan pengedarnya pada penghujung bulan ini.

Dijual pada harga asas RM 6,998, Yamaha PG-1 (2024) yang diposisi dalam segmen gaya hidup seperti diketahui membuat debutnya di negara jiran, Thailand pada penghujung tahun lalu.

Dan ia dikatakan menjadi antara model cukup laris di pasaran negara berkenaan ketika ini.

Di Malaysia, pihak hong Leong Yamaha Motor menawarkan dua pilihan warna iaitu Casual Beige dan Forest Green.

Sebagai model berpenampilan 'lasak', Yamaha PG-1 (2024) dibekalkan dengan sistem suspensi istimewa menerusi fork teleskopik dengan jarak 'travel' 130 mm yang lengkap dengan pelindung dan penyerap hentak kembar dengan jarak 'travel' 109 mm.

Seperti motosikal lasak lain, Yamaha PG-1 (2024) memiliki jarak lega bumi yang tinggi 190 mm, posisi ekzos yang tinggi dan bar hendal tinggi serta lebar.

Dan untuk meningkatkan penampilannya sebagai motosikal 'scrambler retro', Yamaha PG-1 (2024) turut dipadankan dengan panel meter berbentuk bulat dan pelana jenis terpisah untuk penunggang dan pembonceng.

Mengulas trenkuasa, Yamaha PG-1 (2024) dipadankan dengan enjin bersesaran 114 cc, 1 Silinder, 2 Injap, 4 Lejang, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Udara, SOHC yang digandingkan dengan transmisi 4 kelajuan.

Kuasa yang dihamburkan adalah 9 PS pada 7,000 rpm dan tork 9.5 Nm pada 5,500 rpm.

Sistem brek pula menggunakan brek cakera tunggal (depan) dan dram (belakang) dengan set roda 90/100-16 (depan) dan 90/100-16 (belakang) dengan rim jenis 'spoke' atau jejari.

Informasi lain untuk Yamaha PG-1 (2024) di pasaran Malaysia adalah kapasiti tangki bahan api 5.1 liter, panel meter jenis analog berbentuk bulat dan berat 107 kg.

Apa yang menarik, HLYM turut menawarkan pakej aksesori iaitu Pek Kembara daripada Givi pada harga RM 700 dan Pek Ekspedisi yang ditawarkan bersama harga RM 1,200 bersama pelbagai 'jajan'.