YAMAHA PG-1 (2026) Dapat Warna Baharu, Harga Kekal RM 6,998!
Sebagai model yang dikatakan boleh dibawa mengharungi laluan lasak, Yamaha PG-1 dibekalkan dengan sistem suspensi istimewa menerusi fork teleskopik dengan jarak 'travel' 130 mm yang lengkap dengan pelindung dan penyerap hentak kembar dengan jarak 'travel' 109 mm
TERKINI
2/3/20261 min read


KAPCAI yang diposisikan dalam segmen gaya hidup bergaya lasak, Yamaha PG-1 hari ini diumumkan Yamaha Motor Malaysia mendapat kemas kini terbaharu membabitkan 'kosmetik' iaitu pilihan warna baharu.
Tetapi menariknya, kemas kini itu tidak menyebabkan harga jualan asas motosikal yang diperkenalkan di pasaran tempatan pada penghujung tahun 2024 mengalami perubahan dan kekal RM 6,998 (asas), tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.
Dua pilihan warna baharu yang dikatakan lebih bergaya itu adalah:
Classic Black
Sky Blue
Seperti diketahui, Yamaha PG-1 membuat debutnya di negara jiran, Thailand pada penghujung tahun 2023 dan dikatakan menjadi antara model cukup laris di pasaran berkenaan.
Mengulas trenkuasa, Yamaha PG-1 (2024) dipadankan dengan enjin bersesaran 114 cc, 1 Silinder, 2 Injap, 4 Lejang, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Udara, SOHC yang digandingkan dengan transmisi 4 kelajuan.
Kuasa yang dihamburkan adalah 9 PS pada 7,000 rpm dan tork 9.5 Nm pada 5,500 rpm.
Sistem brek pula menggunakan brek cakera tunggal (depan) dan dram (belakang) dengan set roda 90/100-16 (depan) dan 90/100-16 (belakang) dengan rim jenis 'spoke' atau jejari.
Informasi lain untuk Yamaha PG-1 (2024) di pasaran Malaysia adalah kapasiti tangki bahan api 5.1 liter, panel meter jenis analog berbentuk bulat dan berat 107 kg.
Yamaha PG-1 (2026) dengan pilihan warna baharu boleh didapati di semua kedai pengedar sah Yamaha di seluruh negara bermula pada 3 Februari 2026.
Macam biasa, pemilik baharu Yamaha PG-1 turut berpeluang menerima kunci cakera keselamatan Yamaha bernilai RM 100.





