YAMAHA R9 Lancar Tahun Ini, Ganti R6 Di WSBK 2025

TERKINI

2/3/20241 min read

SATU perkembangan mengujakan timbul di 'Paddock' WSBK, baru-baru ini dan menariknya, membabitkan model 'Sportbike' yang dinanti-nantikan daripada pengeluar Jepun, Yamaha R9.

Berdasarkan maklumat yang katanya diperoleh daripada 'bos besar' kem Yamaha di WSBK, jentera Yamaha R6 tidak lagi akan beraksi dalam kelas WorldSSP musim depan.

Dan harapan itu akan diletakkan kepada Yamaha R9 yang dipacu enjin 3 Silinder (sama seperti Yamaha MT-09) menggantikan jentera berprestasi Yamaha R6 yang dijana enjin 4 Silinder.

Menurut Pengurus Pasukan Yamaha Ten Kate Racing, Kervin Bos, memetik laporan MCN, pasukan juara WorldSSP musim 2021 dan 2022 itu mengesahkan 'penukaran' itu namun tidak mendedahkan perincian lanjut.

"Segala-galanya masih belum jelas. Satu-satunya informasi yang kami dapat adalah ia model lumba," kata Bos. "Model perlumbaan sudahnya sedang dibangunkan dengan pesat, dan sudah banyak perkara yang berlaku.

"Satu-satunya perkara yang saya boleh beritahu kamu dengan yakin adalah pada tahun depan di WorldSSP, Yamaha R6 akan digantikan dengan R9, tetapi dengan maklumat ini tidak diketahui bila motosikal itu akan tersedia di jalanan."

Menurut maklumat yang diperoleh MCN menerusi sumbernya di Jepun, Yamaha R9 versi 'Pengeluaran' sudah pun tersedia dan menunggu masa untuk dilancarkan dan berkemungkinan akan muncul pada musim luruh.

Ketika ini, Yamaha R6 tidak lagi dijual di Eropah berikutan ia tidak memenuhi piawaian emisi terkini.

Menurut Bos, jentera pembangunan R9 sudah pun diuji di Itali dan dihasilkan menggunakan platform model 'Naked' Yamaha MT-09 versi terbaharu.

Jika tepat, ia akan menggunakan enjin bersesaran 890 cc, 3 Silinder Sebaris yang menghasilkan 115.7 Hp pada 10,000 rpm.

Tidak diketahui sama ada R9 akan dihasilkan 'seganas' R6 namun berdasarkan jangkaan, ia akan lebih 'mesra' penunggang untuk menarik lebih banyak jualan.

Yamaha R9 pertama kali 'dipetik' pada Ogos 2021 dan menariknya, permohonan paten mengenai itu sudah dilakukan di Eropah, UK, AS, Kanada, Australia, New Zealand dan di beberapa negara Asia.