YAMAHA RW700 Diperkenalkan, Cara Yamaha Cabar Segmen Skuter ADV!
Tampil sebagai ahli keluarga baharu Yamaha menerusi siri RW, Yamaha RW700 yang membawa rekaan radikal ini menjadi skuter Yamaha pertama yang dilengkapi teknologi Transmisi Manual Automatik Yamaha (Y-AMT)
TERKINI
11/3/20261 min read


YAMAHA akhirnya rasmi menyertai persaingan segmen skuter bergaya lasak atau 'Adventure' apabila memperkenalkan model serba baharu yang layak dilabel unik, Yamaha RW700 (2027).
Tampil menjadi ahli keluarga baharu Yamaha dalam siri RW, Yamaha RW700 yang membawa rekaan radikal ini menjadi skuter Yamaha pertama yang dilengkapi teknologi Transmisi Manual Automatik Yamaha (Y-AMT).
Seperti diketahui, Y-AMT membolehkan penunggang memilih sama ada mahu menukar gear secara manual menggunakan suis pada hendal, atau menyerahkan tugas tersebut sepenuhnya kepada mod automatik, yang ditala khusus untuk kegunaan jalan berturap mahupun 'off-road'.
Di bahagian trenkuasa, Yamaha RW700 dikuasakan oleh enjin yang cukup terkenal CP2 bersesaran 690 cc, 2 Silinder Sebaris yang sudah terbukti ketahanannya.
Sebagai model serba baharu, Yamaha RW700 dipadankan dengan teknologi terkini termasuk unit ukuran inersia (IMU) 6 paksi sekaligus menawarkan pakej elektronik canggih merangkumi kawalan cengkaman (TCS), kawalan gelinciran (SCS), kawalan brek (BCS) serta Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) roda belakang yang boleh dimatikan untuk tunggangan lasak.
Bagi meredah pelbagai permukaan jalan, Yamaha menawarkan Kawalan Tunggangan Yamaha (YRC) dengan 3 mod jalanan (Street, Sport, Eco) dan 2 mod kerikil (Explore dan Explore+) yang mengubah suai respons enjin dan transmisi untuk cengkaman optimum.
Menggunakan kerangka keluli tegangan tinggi, Yamaha RW700 dipadankan dengan fork depan jenis terbalik (USD) 41 mm dan penyerap hentak tunggal di (belakang).
Dan untuk meningkatkan darjah lasaknya, skuter ini dipadankan dengan rim jenis jejari 17 inci (depan) dan 15 inci (belakang) dibalut tayar Pirelli Scorpion Rally STR.
Selain versi Standard, turut diperkenalkan adalan versi lebih mewah iaitu Yamaha RW700 Explore yang didatangkan dengan pakej keselesaan tambahan termasuk pemanas genggam, pelana pemanas, tongkat tengah serta suspensi dengan ciri pelarasan.





