YAMAHA Sabar Dulu, 'Orang Kanan' VR46 MotoGP Gemar Jentera Ducati

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

1/26/20241 min read

PASUKAN MotoGP milik legenda, Valentino Rossi, VR46 hanya memiliki baki kontrak pengeluar bersama Ducati hingga penghujung musim ini dan kuat dikaitkan 'perpindahan' ke Yamaha bagi musim depan.

Sekalipun belum ada sebarang kata putus, hubungan baik Rossi yang juga duta Yamaha meningkatkan 'cakap-cakap' berkenaan dengan pasukan VR46 di Moto2 turut mendapat tajaan pengeluar Jepun itu.

Tetapi jangan terlalu teruja kerana Pengarah pasukan yang kini dikenali Pertamina Enduro VR46 Ducati MotoGP, Alessio 'Uccio' Salucci berpandangan sebaliknya.

Ketika ditanya mengenai situasi itu, Salucci tanpa berselindung mahu VR46 memberikan komitmen jangka panjang kepada Ducati.

Malah, rakan karib kepada Vale itu berharap untuk pasukan itu menandatangani kontrak baharu bersama Ducati sebelum musim ini bermula.

"Kami sudah pun mempunyai pilihan untuk bersama Ducati bagi musim 2025 dan 2026," kata Salucci.

"Kini, ketika ini, adalah amat penting. Dalam tempoh 10 ke 15 hari ini, cuba untuk memahami apa yang akan berlaku pada 2025 dan 2026.

"Arah tuju saya adalah meneruskannya dengan Ducati. Impian saya adalah untuk menandatangani kontrak sebelum Qatar kerana saya mahu kekal diam, saya mahu mengharungi persiapan yang amat baik pada tahun ini.

"Untuk itu, kami perlu menandatanganinya sekarang dengan Ducati, kerana ia lebih baik. Tetapi apapun, kita lihat apa yang akan berlaku..."

Selain Yamaha, Salucci sebelum ini turut mendedahkan mengadakan perbincangan dengan KTM.

Sesi ujian MotoGP akan bermula pada 1-3 Februari ini di Sepang (Shakedown) diikuti ujian pra-musim juga di Sepang (6-8 Februari) dan Qatar (19-20 Februari) sebelum kempen 2024 membuka tirainya pada 8 Mac di Qatar.