YAMAHA Sah Tak Guna Engin V4 Di Aragon - Augusto Fernandez
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/5/20251 min read


PELUMBA ujian Yamaha MotoGP, Augusto Fernandez mengesahkan dia tidak akan menunggang jentera Yamaha YZR-M1 dengan enjin konfigurasi V4 di Grand Prix (GP) Aragon 2025, minggu ini.
Bekas pelumba MotoGP itu berkata dia akan dibekalkan dengan dua spesifikasi enjin berbeza pada perlumbaan itu nanti yang menyaksikannya kembali ke grid perlumbaan buat kali pertama sebagai pelumba 'wildcard'.
Bekas juara dunia Moto2 itu pernah mengharungi minggu perlumbaan sebelum ini bagi menggantikan Miguel Oliveira dalam garaj Pramac Yamaha di Austin, Losail dan Jerez.
Kebiasaannya, ujian pasca perlumbaan memberikan kelebihan kepada pelumba ujian apabila mereka terus menjalani ujian selepas perlumbaan.
Fernandez begitupun berkata dia tidak akan menunggang di Aragon pada Isnin tetapi akan menunggang pada ujian persendirian Yamaha di Barcelona.
Dan pelumba kelahiran Sepanyol itu turut mendedahkan jentera yang diuji pada sesi itu akan dipadankan dengan enjin 4 Silinder Sebaris dan bukannya konfigurasi V4.
"Kami mempunyai dua enjin," kata Fernandez memetik laporan Crash.net. "Saya tidak tahu mana satu lebih baik, tetapi menurut rancangan kami mempunyai dua enjin untuk diuji dan lihat jika ia memberikan sedikit manfaat.
"Projek V4 tidak akan berlaku di sini, malah tidak pada Isnin. Pembangunan untuk perkara ini berbeza (daripada 4 Silinder Sebaris) jadi kami mempunyai dua projek. Pada minggu ini, kami fokus kepada 4 Silinder Sebaris."
Fernandez dalam pada itu jelas teruja apabila kembali bertugas sebagai pelumba ujian rasmi.
"Ini adalah perlumbaan pertama saya sebagai pelumba ujian sebenar, jadi saya akan melakukan ujian pada minggu perlumbaan," katanya. "Jadi, sudah tentu ia akan sukar, juga kerana melihat catatan masa dan segala-galanya sukar untuk dilihat.
"Tetapi kami perlu sabar kerana saya menguji banyak perkara. Saya sedar kepantasan saya tidak cukup. Ini adalah minggu untuk kami bangkit semula dan bersedia untuk perkara seterusnya."
