YAMAHA Siar Video 'Teaser' Model Baharu, Debut YZF-R9 9 Oktober Ini?

TERKINI

10/1/20241 min read

YAMAHA meletakkan tarikh 9 Oktober ini untuk pelancaran sebuah model serba baharu dan menariknya menerusi video 'teaser' yang didedahkan, ia nampak cukup mirip model 'Sportbike' yang memberi petanda ia berkemungkinan besar Yamaha YZF-R9.

Sekalipun tidak mendedahkan sebarang nama model yang akan dilancarkan, tetapi berdasarkan video 'teaser' berkenaan, ia memang cukup terarah kepada model yang sudah kerap kali berita kehadirannya dimainkan itu.

Antara petunjuk yang diperoleh daripada video berdurasi 35 saat yang dipaparkan di media sosial rasmi jenama Jepun itu yang menyatakan ia adalah R9 pastinya tarikh pengenalan model berkenaan iaitu pada 9 Oktober.

Dan daripada imej 'siluet' model yang ditayangkan di video berkenaan, ia sememangnya sebuah model 'Sportbike' yang tampak seperti model aras tinggi jenama itu Yamaha R1.

Selain itu, penggunaan slogan 'The Dawn of a New Era' turut memberi petunjuk ia adalah model yang baharu yang turut memberi maksud ia bukan generasi terbaharu R6.

Seperti diketahui, Yamaha ketika ini sedang mencari pengganti untuk mengisi lompong yang ditinggalkan Yamaha R6 yang ditamatkan pengeluarannya pada 2020.

Justeru, laporan mengenai kehadiran R9 kerap dimainkan terutama media automotif di Jepun dan Eropah.

Jika benar ia adalah R9, apa yang menarik ia pastinya akan menggunakan enjin CP3 Yamaha yang turut digunakan beberapa model jenama itu seperti Yamaha MT-09 tetapi boleh dijangka ia pasti datang dengan penalaan berbeza.

Turut boleh dijangka adalah ia tidak 'kosong' seperti R7 dan pastinya lengkap dengan pelbagai ciri elektronik terbaharu serja 'jajan' menarik seperti MT-09.

Jadi adakah ia memang R9? Sama-sama kita nantikan.