YAMAHA Tak Pernah Ada Rancangan Bawa Saya Ke MotoGP - Toprak Razgatlioglu

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/8/20241 min read

YAMAHA tidak mempunyai pelan yang konkrit untuk membawa Toprak Razgatlioglu ke MotoGP, dedah pelumba bintang WSBK kelahiran Turki itu yang kini beraksi bersama BMW Motorrad.

Selepas menjulang gelaran dunia WorldSBK tunggalnya bersama Yamaha pada 2021, Razgatlioglu diberikan peluang untuk menguji jentera MotoGP Yamaha M1.

Tetapi ujian berkenaan kekal sebagai ujian dengan pengeluar Jepun itu memilih tidak menyenaraikan Razgatlioglu dalam projek MotoGP pasukan itu.

Dan Razgatlioglu kemudian melakukan perkara yang sama di pentas WSBK apabila memilih untuk meninggalkan pasukan itu dan menyertai pasukan BMW Motorrad dan setakat ini, tindakannya nampak tepat.

Mendedahkan apa yang berlaku ketika ujian MotoGP yang diharungi di Jerez, Razgatlioglu memetik laporan Motorsport-total berkata:

"Sudah ada perbincangan mengenai tempat (di MotoGP) sebelum ujian. Kebiasaannya ada tiga tempat berbeza di Yamaha. Tetapi apabila saya tiba di ujian, jentera yang digunakan sama seperti sebelum ini," kata Razgatlioglu.

"Saya hanya melakukan pusingan. Saya juga tidak mempunyai tayar. Tetapi saya menghormatinya.

"Saya sebenarnya merancang untuk meneruskan tunggangan selepas hari pertama. Saya bercakap dengan Kenan (Sofuoglu). Dia berkata yang saya perlu menunjukkan Yamaha rasa hormat.

"Semua pelumba muda mempunyai impian. Mereka mahu menunggang jentera MotoGP pada satu tahap. Saya memperoleh pengalaman itu, yang membuatkan saya amat gembira.

"Tetapi Yamaha tidak ada rancangan untuk meletakkan saya di MotoGP. Mereka tidak mahu kontrak baharu dan sebab itu membuatkan kami memulakan perbincangan dengan BMW.

"Saya menandatanganinya dan saya amat gembira. Ia adalah cabaran baharu dan saya amat bermotivasi berbanding dulu ketika ini."

Yamaha ketika ini bergelut dalam kempen MotoGP dengan pelumba terbaiknya, Fabio Quartararo mengisi kedudukan ke-12 carta pelumba manakala seorang lagi pelumba, Alex Rins di tangga ke-19.