YAMAHA Tak Rancang Guna Quartararo, Rins Lumba Dengan Enjin V4

Yamaha sahkan mereka tak rancang untuk menggunakan pelumba pasukan 'kilangnya' Monster Yamaha iaitu Fabio Quartararo dan Alex Rins untuk berlumba dengan enjin baharu V4 dalam kempen MotoGP pada musim ini

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/21/20251 min read

YAMAHA tidak merancang untuk menggunakan pelumba pasukan 'kilangnya' Monster Yamaha iaitu Fabio Quartararo dan Alex Rins untuk berlumba dengan enjin baharu V4 dalam kempen MotoGP pada musim ini.

Perkara itu dikatakan oleh Pengarah Urusan Yamaha Motor Racing, Paolo Pavesio.

Begitupun menurut Pavesio, pengeluar gergasi Jepun itu mempunyai perancangan untuk kedua-dua pelumba itu menguji jentera yang menggunakan enjin berkenaan pada tahun ini.

Sejak diumumkan projek berkenaan pada September musim lalu, Yamaha menyatakan pembangunannya selari dengan projek meningkatkan prestasi enjin 4 Silinder Sebaris yang digunakan ketika ini.

Setakat ini, enjin V4 Yamaha sudah pun menjalani ujian di litar terbaharu di Catalunya namun hanya membabitkan pelumba ujian.

"Kami ada merancang untuk mereka (pelumba Monster Yamaha) menguji jentera itu, tetapi bukan untuk berlumba dengannya," kata Pavesio kepada MotoGP.com.

"Ia akan berlaku pada satu masa pada musim ini, ia benar-benar bergantung kepada bagaimana langkah seterusnya akan berkembang.

"Seperti yang kami selalu katakan, ini adalah projek perlumbaan dan pembangunan yang dijalankan secara selari.

"Kini, jentera itu berada di litar, ia sudah pun ditunjukkan kepada umum, dan lebih banyak kemajuan prestasi dicapai, ia menjadikan cabaran dalaman lebih menarik dan mencabar.

"Tetapi apapun, kami mahu menghasilkan jentera V4 masa depan yang terbaik, sama seperti kami mahu menjadi kompetitif setiap minggu di litar dengan pakej sedia ada."