YAMAHA Tayang 'Liveri' Monster Energy Yamaha MotoGP Di Sepang

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/5/20241 min read

MONSTER Energy Yamaha MotoGP memilih Litar Antarabangsa Sepang (Petronas SIC) sebagai destinasi untuk mendedahkan 'Liveri' baharu pasukan itu bagi menghadapi kempen 2024.

Untuk musim 2024, pasukan pengeluar Jepun itu akan dipacu dua pelumba iaitu juara dunia MotoGP 2021, Fabio Quartararo dan 'muka baharu' Alex Rins.

Quartararo dan Rins sebelum ini sudah pun membuat 'penampilan' sulung bagi kempen 2024 menerusi ujian 'Shakedown' MotoGP yang berlangsung di Sepang, minggu lalu.

Sebagai info, pasukan itu pada tahun lalu memilih Jakarta, Indonesia sebagai destinasi untuk menayangkan 'Liveri' bagi musim 2023.

Jika melihat secara kasar, 'Liveri' baharu jentera M1 2024 nampak cukup mirip dengan jentera 2023 terutama dengan pemilihan corak grafik yang tidak banyak berubah dengan kedudukan 'Cakar' Monster Energy yang hampir sama.

Tidak seperti pengeluar lain antaranya Honda, Aprilia dan KTM yang memilih untuk menguji komponen aerodinamik ketika ujian 'Shakedown', Yamaha memilih untuk tidak terlalu 'terdedah' dan mengutamakan prestasi enjin.

Quartararo dan Rins akan kembali 'beraksi' di Petronas SIC, hari ini bagi sesi ujian rasmi pra-musim MotoGP yang dijadual pada 6 hingga 8 Februari ini.

Apa yang menarik, Quartararo dan Rins sebelum ini turut sempat berkunjung ke ibu pejabat Hong Leong Yamaha Motor untuk mendedahkan Yamaha Y16ZR MotoGP Winter Test 2024 selain aktiviti konvoi.