YAMAHA Tenere 700 (2023) Buat Kemunculan Di Malaysia, RM 69,988 (asas), Tempahan Buka Esok!

TERKINI

9/17/20231 min read

YAMAHA Tenere 700 (2023), salah satu model yang kerap dicanang memasuki pasaran tempatan sejak tahun lalu akhirnya disahkan bakal dilancarkan dengan tempahan untuk jentera 'Adventure' hebat itu akan mula dibuka, esok.

Tidak lagi mahu berahsia, pihak Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) turut mengumumkan harga motosikal berkenaan iaitu RM 69,988 (asas).

Seperti biasa, harga yang diumumkan adalah yang disyorkan, tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Lebih menarik lagi, atau sengaja 'bikin panas', pihak HLYM turut menayangkan motosikal berkenaan sempena Karnival Yamaha GEN BLU 2023 yang sedang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah.

Sekalipun tempahan sudah pun dibuka, begitupun tiada tarikh tepat pelancaran motosikal berkenaan diumumkan namun menurut HLYM, ia dijadual pada penghujung tahun ini.

Menurut Yamaha Malaysia, Yamaha Tenere 700 (2023) adalah model 'Adventure on/off- road' pertama syarikat itu setakat ini.

Mengulas bahagian trenkuasa, model yang terkenal dengan kelasakan dan kemampuan 'tork' yang tinggi itu dijana enjin CP2 bersesaran 689 cc, 2 Silinder Sebaris dengan 270 darjah 'Crankshaft'.

Bersama dengan transmisi 6 kelajuan klac manual dan dipadankan dengan kerangka yang ringan, kuasa yang dihamburkan motosikal berkenaan adalah sekitar 72.3 Hp pada 8,750 rpm dan tork 67 Nm pada 6,500 rpm.

Diperkenalkan beberapa tahun lalu, Yamaha Tenere 700 mendapat kemas kini yang komprehensif tahun lalu menerusi peningkatan teknologi antaranya kluster meter TFT berwarna 5 inci lengkap dengan sambungan ke telefon bimbit.

Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) turut dipertingkatkan dan kini datang dengan tiga mod, (ABS on, ABS off dan Tayar Depan/Belakang off).

Selain itu, perubahan lain yang dilakukan termasuklah rekaan tuil brek yang lebih 'ranggi' selain soket pengecas USB yang menggantikan soket pengecas 12V.

Tak diketahui berapa pilihan warna yang bakal ditawarkan oleh HLYM untuk Yamaha Tenere 700 (2023) atau adakah varian tertinggi, Rally Edition akan tiba secara standard. Kita tunggu pelancaran rasmi nanti.